KUALA TERENGGANU – Sambutan terhadap program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu baru-baru ini amat positif dalam kalangan anak muda, khususnya dalam usaha memperkukuh jati diri dan identiti Melayu-Islam.
Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, penganjuran program yang menghimpunkan peserta dan tetamu antarabangsa itu memberi isyarat jelas bahawa isu perpaduan ummah dan masa depan umat Islam memerlukan penglibatan aktif generasi muda.
Menurutnya, anak muda tidak wajar bersikap selesa atau berkecuali dalam isu-isu yang melibatkan umat Islam dan dunia global, sebaliknya perlu mengambil tanggungjawab sebagai generasi pelapis yang akan mewarisi kepimpinan akan datang.
“Anak muda perlu terus diberikan ruang untuk bersuara dan melontarkan pandangan, bukan hanya sebagai peserta atau pendengar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut berharap agar program susulan dapat diteruskan sebagai tanda kesungguhan penganjur dalam memperkukuh agenda perpaduan ummah, selain menjadi platform berterusan untuk penglibatan belia.
Katanya lagi, usaha menghimpunkan pelbagai pihak di Terengganu itu wajar diteruskan bagi memastikan mesej perpaduan dan kesedaran umat dapat disebarkan secara lebih meluas kepada generasi muda.




























