Pengukuhan Ukhuwah Beliawanis Jadi Teras ‘Dessert Date’ Manis-Manis Syawal

166
Wan Ramlah Wan Abdul Rahman

SETIU – Pengukuhan ukhuwah dan pembinaan jati diri beliawanis menjadi teras utama penganjuran program Dessert Date: Manis-Manis Syawal yang berlangsung penuh bermakna dengan penyertaan kira-kira 50 peserta.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, Wan Ramlah Wan Abdul Rahman berkata, pertemuan tersebut bukan sahaja “manis” dari segi juadah, malah lebih bermakna dalam membina hubungan persaudaraan sesama peserta.

“Alhamdulillah, pertemuan ini sangat bermakna. Ukhuwah yang kita bina insya-Allah semanis juadah yang disediakan. Tahniah kepada Ameerah Setiu kerana berjaya menghimpunkan beliawanis dalam program yang bermanfaat ini,” jelasnya ketika berucap dalam program Dessert Date, Manis-Manis Syawal, semalam.

 

Justeru itu, beliau turut berharap program tersebut mampu melahirkan natijah yang baik dengan menggembleng tenaga anak muda untuk menyumbang idea kreatif dan berani melangkah ke hadapan.

“Kita mahu mereka terus kental menghadapi ujian dan pancaroba, di samping memainkan peranan aktif dalam menjayakan program anak muda agar mampu berdaya saing dengan kawasan lain,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Zulbhari Abd Rahman menegaskan kepentingan memperkukuh ukhuwah dan merapatkan saf dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Kita dituntut untuk merapatkan saf kerana Allah SWT menjanjikan kekuatan ukhuwah dan penyatuan hati. Program seperti ini penting untuk memastikan agama sentiasa berada dalam hati kita,” jelasnya.

Menurut beliau, kekuatan ilmu, iman, rezeki dan semangat berjemaah menjadi asas kepada kelangsungan perjuangan.

“Insya-Allah, dengan ukhuwah yang kuat, kita mampu meneruskan perjuangan dan mencapai kejayaan di dunia serta akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah program merangkap Ketua Unit Hal Ehwal Remaja (HEWI), Nur Ain Munirah binti ya Omar berkata, usaha memupuk istiqamah dalam kalangan beliawanis selepas Ramadan menjadi fokus utama penganjuran program tersebut.

“Alhamdulillah, program ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Para peserta hadir dengan penuh semangat dan komitmen,” katanya.

Menurut beliau, pengisian sepanjang program diharap dapat menjadi panduan kepada para peserta untuk terus istiqamah dalam amalan harian selepas melalui madrasah Ramadan.

“Syawal diraikan dengan penuh kegembiraan, namun semangat ibadah perlu diteruskan agar nilai-nilai yang dibina sepanjang Ramadan tidak terhenti begitu sahaja,” ujarnya.

Beliau menambah, program berkenaan bukan sekadar pertemuan santai meraikan Syawal, malah menjadi platform mendekatkan hati, mengeratkan silaturrahim dan membina kekuatan rohani dalam kalangan beliawanis.