“Jangan Menyindir”

1000

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU – Para pendakwah digesa agar mendidik masyarakat dengan penuh hikmah dan tidak menjadikan sindiran (sarcasm) suatu kaedah dalam menyampaikan nasihat.

Penolong Setiausaha II Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) Ustaz Ridhuan Abdul Karim berkata, kaedah sedemikian boleh memberi kesan emosi yang tidak baik kepada masyarakat.

“selaku pendakwah, pilihlah cara selain sarcasme untuk menegur. Lihatlah bagaimana Nabi Nuh yang tekun mengajak, memujuk, mendidik bahkan diancam selama 950 tahun.

“Baginda tidak pula beralih dari kaedah dakwah kepada sarcasme,” ujarnya melalui catatan di laman sosialnya pada Rabu, 24 Februari.

Beliau berkata, seseorang bergelar ‘daie’ perlu bersabar dalam menghadapi kerenah masyarakat yang pelbagai.

“Dakwah itu langkahnya panjang. Syukurlah kepada Allah disaat manusia hanyut dengan dunia.

“Allah memilih kita bersimpuh di hadapanNya memohon keampunan dan menambah pengetahuan,” katanya.

Justeru tegasnya, tidak sewajarnya mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah itu, merasakan dirinya lebih tinggi dan mulia sehingga merendahkan orang lain.