KUALA TERENGGANU – PAS memberi peringatan kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional Terengganu agar jangan heret rakyat dalam masalah politik dalaman parti tersebut.
Pesuruhjayanya YB Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata situasi ketegangan politik yang berlaku kebelakangan ini adalah masalah yang melibatkan Menteri Besar (MB) Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan bekas MB Dato’ Seri Ahmad Said.
Oleh itu, beliau menegaskan, PAS tidak wajar dibabitkan dan PAS tidak akan mencampuri urusan dalaman Umno Terengganu kerana ia tidak ada kena mengena dengan PAS.
“PAS memberi peringatan kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional Terengganu, jangan sampai menyusahkan dan mengheret rakyat ke kancah politik yang keterlaluan, sehingga mengabaikan kebajikan, kehidupan dan masa depan rakyat.
“PAS juga tidak bersetuju dan menentang sebarang ketidakadilan, mengambil alih peruntukan yang sepatutnya diuruskan oleh wakil rakyat adalah satu amalan yang buruk dalam tadbir urus sesebuah kerajaan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Khamis 31 Mac, merujuk kepada tindakan Menteri Besar, mengamil alih peruntukan wakil rakyat ADUN Kijal selepas Ahmad Said membawa usul undi tidak percaya dalam sidang DUN awal bulan ini.


“apa yang berlaku kepada ADUN Kijal, sepatutmya ia tidak berlaku begitu, sebagai ADUN dia sepatutnya mendapat hak tersebut,
“dan begitu juga kami…..sebagai wakil rakyat yang mendapat sokongan rakyat yang diiktiraf (melalui) suara demokrasi, diakui dalam perlembagaan, tapi kami dinafikan peruntukan pembangunan sebagaimana yang diagihkan sebagaimana ADUN lain,”jelasnya.
PAS juga, kata beliau, sama sekali tidak bersetuju dengan apa-apa tindakan yang menyalahi peraturan dan perlembagaan dan tindakan merampas kuasa sebagaimana dilakukan oleh Barisan Nasional negeri Perak adalah tindakan yang tidak wajar.
Justeru, PAS menyarankan, sekiranya isu yang melanda politik negeri ini tidak dapat diselesaikan, DUN mestilah dibubarkan dan kerajaan wajar menghormati pandangan sultan Terengganu sebagai ‘payung negeri’
“maka mandat perlulah diserah semula kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru melalui pilihanraya.
“Walau apa pun yang mungkin berlaku, negeri Terengganu adalah negeri Raja Berperlembagaan. Sultan adalah payung negeri. Justeru pandangan tuanku sultan adalah amat dihormati,”tambah beliau.
https://youtu.be/DfbakOKsQ3A




























