Istiqamah Dalam Perjuangan : As- Sabiqun Membajai Gerakan.

292

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Prof. Zulkifli Mohammad ,seorang ideologue PAS yang tersohor pernah mengungkapkan kata- kata emasnya kepada para amilin PAS, “Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik, pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada kita. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya. Keikhlasan yang tidak mengira yang selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”

Pagi yang indah ini Dato Dr Mahfoz Mohamed, Ketua Sidang as Sabiqun Pusat melontarkan kalam yang sama dengan pemerincian yang sangat menarik tentang cabaran perjuangan, akar kekuatan PAS dengan kepimpinan ulama, keikhlasan dalam perjuangan walau kita bukannya sesiapa, seterusnya istiqomah sepenuh upaya untuk menelurkan kemenangan. Mantan Professor kampus Universiti Malaya ini juga mengingatkan ahli – ahli as Sabiqun untuk kekal menghadiri program persiapan fikrah seperti usrah, liqa fikri, daurah dan sebagainya. Tidak boleh culas sehinggalah helaan nafas yang terakhir.

As Sabiqun bukanlah kelab warga emas yang berhimpun untuk menghabiskan sisa- sisa- umur,sebaliknya kelompok berjasa ini adalah pemangkin kesedaran dan kebangkitan dalam harakatul ummah ini. Rangkaian sosial wajib diperluaskan dengan pelbagai acara seperti ziarah masyarakat, membantu mengukuhkan dana PAS, membantu pusat khidmat masyarakat, memastikan pengukuhan kefahaman Islam dalam masyarakat setempat serta lain- lain- aktiviti.

Perasmi konvensyen Sidang as Sabiqun 5.0 ,DS Tuan Ibrahim Tuan Man mengungkapkan betapa pentingnya fasa umur anggota Dewan as Sabiqun, mereka lumayan masa lapang, juga ada kelebihan kewangan dan kelebihan yang lain. Kelompok ini terbukti melalui fasa kehidupan terdahulu , cintakan perjuangan Islam dan diterjemaahkan dalam mozaik kehidupannya. Penulis mengamati rata-rata aktivis as Sabiqun hari ini adalah alumni Dewan Pemuda tiga atau empat dekad yang lalu.

Timbalan Presiden PAS, dalam nada santai namun serius idea bagai mana untuk pemberdayaan Dewan paling baharu dalam harakatul ummah ini. Antaranya kombinasi tenaga baru dan tenaga lama dalam jamaah adalah resipi kejayaan. Kelompok as Sabiqun perlu merakam pengalaman pengalaman berharga dalam PAS, juga jangan kedekut mencurah pengalaman kepada generasi baru. Jauhi polemik manhaj kerana pentingnya menjaga perpaduan, seterusnya membina keyakinan massa kepada Islam.PAS terlalu banyak contoh kejayaan menguruskan kepelbagaian,contohnya kejayaan Kelantan menguruskan perpaduan kaum. As Sabiqun perlu bijak dalam pendekatan dakwah, jinakkan jiwa sasaran dakwah bukan menyulitkan mereka. Setiap anggota Dewan as Sabiqun perlu menjaga amal ibadah mereka , menjadi contoh pada anak-anak muda dalam menegakkan kehidupan berteraskan agama.

Harapan besar kepada kelompok emas ini moga terus beristiqomah dengan pasakan ikhlas. Keikhlasan dan istiqomah mudah disebut , meluncur dibibir mulut namun untuk dilaksanakan paling sukar. Harakatul ummah ini merimbun dan telah melepasi tujuh dekad perjuangan kerana adanya watak- watak yang dikenali di langit. Mereka ikhlas dan berkorban untuk perjuangan Islam tanpa adanya matlamat peribadi, agenda tersembunyi untuk meraih laba dunia, mobiliti sosial dan sebagainya.

Teman- teman mungkin biasa mendengar kisah heroik tentang para as Sabiqun PAS. Kisah penoreh getah di kawasan perdesaan Kedah yang menyisihkan tiga keping getah setiap hari untuk infaq kepada perjuangan. Rumahnya uzur dan buruk, pakaiannya lusuh dan lama tak bertukar namun sebahagian pendapatan hariannya wajib disumbangkan kepada PAS. Kelompok inilah yang kita temui setiap kali himpunan besar di kotaraya, datang daripada hujung kampong, menabung duit untuk menyertai rombongan ke Muktamar, himpunan , demonstrasi, dan lain – lain program jamaah. Lihatlah bangunan kompleks PAS Kedah yang tersergam indah, ianya hasil infak ” tin Milo” kelompok jasawan PAS. Mereka kadang tak dikenali, wira tanpa nama namun jiwanya tulis untuk memenangkan perjuangan Islam.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi pernah menitipkan pesanan kepada seluruh anggota legislatif PAS dan pimpinan PAS, agar istiqomah dengan perjuangan, jangan mengabaikan ahli-ahli PAS bawahan yang telah berkorban untuk memenangkan mereka dalam pilihanraya. Ahli- ahli yang bersengkang mata, mengucur keringat, berkorban harta benda bahkan melebihi calon pilihanraya bagi memastikan kemenangan jamaah. Kelompok ahli yang istiqomah sehingga helaan nafas terakhir, mereka kadang tak dikenali, tak mendapat ganjaran dunia seperti elaun dan pencen namun kerja buat mereka untuk mendapat keredhaan Allah itulah yang menyuburkan perjuangan Islam walau berdada dengan pelbagai ujian. As Sabiqun adalah entiti PAS yang termasuk dalam ingatan Presiden, mengucur keringat, mengunyah kejerihan ibtila’, istiqomah sehingga kemenangan!.

(Penulis merupakan AJK PAS Pusat, dan Pengerusi Lestari)