Jawatan Adalah Amanah Bukan Kemuliaan

422

KUALA TERENGGANU – Pelantikan memegang sesuatu jawatan dalam PAS bukanlah satu kemuliaan, sebaliknya ia satu amanah berat yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyifatkan, sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang baharu dipilih bagi sesi 2025–2027, adalah satu ujian.

Katanya, bebanan besar itu, menuntut kesungguhan dan keikhlasan perjuangan khususnya dalam parti Islam yang menilai setiap perbuatan itu dengan ‘dosa dan pahala’.

“Tiada apa yang saya nak komen cuma makin bertambah bebanan, dan semakin berat amanah yang perlu dipikul,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai pelantikan tersebut.

Justeru itu, beliau berharap kepada Allah Taala agar sentiasa memberi bimbingan dan tidak melalaikan dirinya dengan pangkat dan jawatan dunia yang bersifat sementara.

“Pakat doa untuk saya Dan sokong sekiranya saya betul, tegur dan perbetulkan saya, sekiranya buat kesalahan,” tambah beliau.

ADUN Rantau Abang itu, bersama dua lagi rakannya, Ketua Pemuda PAS Marang Ustaz Yusuf Abdul Hadi dan Ketua Pemuda PAS Dungun, YB. Dr. Tengku Muhammad Fakhrudin telah mendapat undi terbanyak dalam pemilihan di Muktamar DPPP semalam.

Daripada 20 orang calon, Ustaz Mohd Fadhli mendapat 344 undi, Dr. Tengku Muhammad Fakhrudin 424 dan Yusuf meraih 468 undi.