Rakyat Malaysia menunggu apakah tindakan balas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan kerajaan Malaysia terhadap ugutan yang menggemparkan dan ‘membogelkan’ rahsia hubungan bomoh Ibrahim Mat Zain, dengan parti Umno.
Ibrahim yang menggelar dirinya ‘bomoh koperat’ telah mengugut untuk menampar Khairy dan mencabar Ketua Pemuda Umno itu meletakkan jawatan daripada jawatan Menteri.
Bahkan Ibrahim menegaskan ini bukan kali pertama beliau menentang seorang menteri, sebelumnya beliau mendakwa, telah menentang bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris.


“Orang kampung dia (di Rembau) boleh gempar lah, Ibrahim Mat Zin jangan gempar. Kalau dia gempar saya akan ambil tindakan mahkamah,” katanya Dalam klip video YouTube disiarkan oleh blog www.suara.tv
Ibrahim berkata demikian sebagai membalas kenyataan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau , menulis dalam tweeternya bahawa Ibrahim si bomoh itu, patut ditangkap kerana membawa malu kepada Malaysia.
“Dia (Khairy) budak baru. Dia ingat saya baru setahun jagung.
“Orang kampung dia (di Rembau) boleh gempar lah, Ibrahim Mat Zin jangan gempar. Kalau dia gempar saya akan ambil tindakan mahkamah,” katanya.
Bomoh itu yang sememangnya tidak berpuas hati dengan ahli parlimen Rembau itu menambah: “Apa dia ingat saya budak-budak untuk ditangkap, dia ingat saya adik dia ke.”
“Jangan ingat saya bomoh sengkek kampung. Saya pun ada peguam,” katanya.


“Saya akan saman dia kerana menjatuhkan imej mahaguru datuk. Anak murid saya seramai berapa juta orang sanggup menghadap mahkamah,” katanya.
Menyifatkan Khairy sebagai sampah masyarakat, beliau turut mempersoalkan pelantikan Khairy sebagai seorang menteri.
“Saya ingat dia gila lah, semua orang (dia anggap) musuh. Macam mana Najib boleh ambil dia sebagai menteri.
“Kalau saya jadi Najib saya tendang dia macam bola, sampah masyarakat,” kata Ibrahim.
Beliau turut mempertahankan usahanya mencari pesawat MH370 yang telah hilang selama tujuh hari itu.
“Saya usaha cara tradisional, bawak bakul, buah kelapa, tikar. Yang buat tikar terbang bukan saya, itu pemberita yang buat, saya duduk saja,” katanya.
Khairy di akaun Twitternya pula tampak bersahaja dengan ugutan Raja Bomoh itu malah memaparkan pautan video itu.


Sebelum itu, Sepuluh pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memantau sebarang aktiviti berunsur syirik.
Ketua Penguat Kuasa Agama Daerah Sepang, Zaifullah Jaafar Shidek, berkata pihaknya memandang serius tindakan segelintir pihak yang mengambil kesempatan kononnya untuk membantu mencari pesawat MH370 yang hilang.
“Tindakan bomoh pada Isnin dan Rabu lalu adalah melampau. Mana-mana pihak yang melanggar fatwa dan syariat agama boleh dikenakan tindakan dan didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor,” katanya.
Media melaporkan JAKIM telah mengkritik aktiviti perbomohan Ibrahim Mat Zin di KLIA, kelmarin yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam selain perubatan alternatif bomoh itu diputuskan bercanggah dengan syiar Islam pada 2004.
Namun sehingga kini, Ibrahim masih bebas dan tidak ditahan oleh pihak berkuasa.




























