Hanya Telur Penyu Agar Di Pasar Payang

1464

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU – Hanya telur Penyu Agar sahaja yang dijual di Pasar Payang mengikut Enakmen Penyu Terengganu 1951 dengan pindaan 1987.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata bahawa mengikut enakmen tersebut hanya telur Penyu Belimbing sahaja yang tidak dibenarkan untuk dijual.

“Kita boleh bezakan dengan mudah diantara telur (Penyu) Belimbing dengan telur Penyu Agar pada saiznya.

“Telur Penyu Belimbing besar dan sebenarnya sudah lama tidak mendarat di Pantai Terengganu,” jelas beliau.

Beliau yang juga merupakan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan negeri, menjawab pertanyaan daripada ADUN PAS Kemasik Ir Saiful Azmi Suhaili, berkaitan tindakan dan kawalan bagi membendung penjualan telur penyu di Pasar Payang, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang ke-14, pada hari ini.

Jelas Dr Azman, perkara berkenaan sering ditimbulkan dan menjadi perbualan di media-media sosial.

“Seolah-olah kerajaan (PAS) negeri tidak nampak atau terlepas kawalan terhadap penjualan (telur penyu),” ujarnya
.

Mengikut rekod katanya, kali terakhir pada tahun 2017, terdapat dua ekor Penyu Belimbing yang mendarat selepas pada itu sudah tidak didapati lagi yang mendarat pada masa kini adalah Penyu Agar.

Walaupun demikian katanya, beberapa kajian sedang dijalankan dengan mengambil pandangan daripada organisasi-organisasi terlibat.

“Jadi macam kita beri lesen kepada orang tetapi dalam masa yang sama tidak adil juga kalau nikmat Allah ini sehingga (memyebabkan) tidak boleh dikecapi.

“Tidak dapat dirasa lansung dengan kita tutup ‘kemah keming’ tidak boleh merasa,” ujarnya.

Untuk itu, pada oktober yang lalu, Jabatan Perikanan bersama pelbagai pihak telah mengadakan satu bengkel untuk membuat beberapa pindaan.

“Kepada Enakmen Penyu Negeri Terengganu dan didalam itu ada beberapa cadangan pindaan.

“Insya-Allah akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk penelitian dan pertimbangan,” ucap beliau.