Flotilla : Dengan Nuansa Persaudaraan Akidah

1633

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Camar laut terbang rendah menghampiri kapal yang kami naiki, bercermin dengan laut biru yang indah. Perjalanan menuju ke tanah Arakan penuh dengan kenangan dan warna warni potret perjuangan. Dek kapal menampung pelbagai bangsa daripada pelbagai negara, antaranya Amerika Syarikat, Turki, Sweden, China, Peranchis, Cambodia,Thailand, Indonesia, Saudi dan lain-lain negara.

Kapal yang sarat 2700 tan barangan bantuan kemanusiaan bergerak dengan perlahan dinakhodai oleh Kapten Firdaus. Seawal subuh dengan laungan azan daripada dek kapten yang bertukar menjadi surau, bahkan sebuah madrasah yang mencerahkan akal serta mengharumkan nurani. Selesai solat subuh, samada bertilawah al Quran atau mencicip tazkirah sebagai sarapan ruhani.

Di waktu pagi, sarapan disediakan oleh Haji Jamuliddin Elias, mantan Pengarah Unit Amal Malaysia yang dibantu oleh petugas-petugas dengan cara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan. Bukan sahaja menyediakan makanan dibuat secara berkumpulan dan bergilir, bahkan tugasan membersihkan dek serta membersihkan surau sementara.

Pelbagai acara digalang di atas flotilla bagi mengisi masa para peserta dengan beragam latarbelakang sosio ekonomi. Latihan kebakaran, kursus CPR, menonton dokumentari berkaitan muslim Arakan, tilawah al Quran, mesyuarat demi mesyuarat dan latihan kecemasan unit rawatan.

Flotilla dibekalkan dengan akses internet yang sangat minima kerana kapal Nautica Aliya ini menampung puluhan pengamal media yang berusaha setiap masa menghantar maklumat kepada masyarakat antarabangsa. Media mengintai berita yang boleh memancing pesona masyarakat untuk mengikuti daripada dekat misi bantuan yang melakar sejarah ini.

Misi membantu masyarakat muslim Rohingya kali ini adalah gemblengan tenaga paling besar yang pernah dibuat oleh gabungan pelbagai NGO daripada pelbagai negara. Isu muslim Rohingya seolah disepikan walaupun inilah antara muslim genocide yang setara dengan Palestine dan juga Syria. Misi yang dirancang berbulan-bulan lebih awal ini juga pada awalnya beberapa kali telah ditangguhkan akibat karenah birokrasi negara Myanmar dan juga Bangladesh.

Bangladesh adalah sebuah negara agraria yang tidak bersahabat dengan perbedaan pandangan. Tidak mudah berurusan dengan negara sub continent ini yang juga negara yang mempunyai populasi muslim yang ketiga paling ramai di dunia. Beberapa kali mereka mengubah pusat pendaratan dan ini sangat menyulitkan misi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.

Apatah lagi dengan negara Myanmar yang menjadi pemicu kepada isu pembantaian muslim Arakan. Pelbagai “red tape” yang menyukarkan misi walaupun misi ini dalam skala ” G to G”. Namun anggota misi setiap hari bermunajat kepada Allah semoga dilorongkan jalan untuk membantu saudara akidah mereka. Ada yang setiap hari berpuasa, malah menghiaskan malam hari mereka dengan doa yang lirih, agar misi sempurna sebagaimana perancangan asal.