Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai masa empat bulan bagi menjelaskan kepada rakyat melalui penerangan iklan dan media elektronik (tv) mengenai kebaikan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan boleh mengadakan majlis penerangan bagi menjelaskan kepada masyarakat umum di Malaysia.
Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang berjaya dibentangkan di parlimen oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendapat reaksi positif seluruh anggota masyarakat.
“Masa ada empat bulan lagi (bahas) dan kerajaan boleh buat majlis penerangan untuk menjelaskan kepada masyarakat. Jika kerajaan boleh habiskan duit untuk iklan penerangan tentang GST, banyak mana habis duit untuk kempen GST.


Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Jamaie PAS Kawasan Hulu Terengganu di Restoran Matahari Oriental Cuisine, Kuala Terengganu 11 Jun.
Menurutnya, suasana politik negara hari ini, masa depan adalah bersama dengan PAS sebagai peneraju.
“Suasana politik di Malaysia hari ini, kita yakin dengan masa depan PAS. Kita rasa gembira kerana hari ini perjuangan kita (PAS) sudah mula diterima hampir keseluruhan anggota masyarakat kita.
“Dulu benda hok kita buat, benda yang kita perjuangkan orang pandang lekeh, orang pandang kecil. Tapi hari ini apa yang kita (PAS) buat sudah dinilai dan diberikan perhatian yang besar.
“Contoh RUU Akta 355 mendapat sambutan luar biasa dari seluruh masyarakat Islam. Kajian Twiter yang dibuat oleh seorang aktivis muda secara peribadi kajian yang dibuat terhadap 20,000 respondan yang menjawab soal selidik itu 80 peratus menyokong pelaksanaan hudud dalam negara kita. Ini satu perkembangan luar biasa dan ini tidak diduga oleh kita,” jelasnya yang juga Naib Presiden PAS.
Bahkan, katanya terdapat lebih 20 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam berpakat untuk mempertahan dan mempastikan usul RUU Akta 355 itu dapat diluluskan di Parlimen.
Menurutnya, NGO-NGO tersebut tidak ada kaitan dengan mana-mana parti dan mendapat reaksi yang sangat positif dari seluruh anggota masyarakat.
“Kita telah bincang antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat dua tahun hinggalah yang terakhir pada 16 Mei lalu, kita bincang kali terakhir hingga dibenarkan kepada Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dapat membentangnya usul itu di Parlimen,” tegasnya.
Hadir sama pada majlis tersebut Bendahari PAS Terengganu, Cikgu Syukrimun Shamsuddin dan Setiausaha PAS Terengganu selaku Yang Dipertua PAS Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid.


























