Dakwaan Khidmat PBT Tidak Memuaskan Benar

1657

Dakwaan yang dinyatakan oleh orang ramai yang tidak puas hati tentang khidmat pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) adalah benar.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang meminta PBT di Terengganu perlu membuat kajian untuk penambahbaikan tahap kebersihan tandas awam dan persekitaran negeri

Razif mencadangkan PBT supaya melantik pihak yang boleh mengutip sampah secara kontrak selama seminggu sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

“Ini hanya cadangan saya, jika PBT ada cadangan lain yang lebih bagus perlu dilaksanakan kerana kita sedia maklum, sepanjang Aidilfitri nanti, sampah akan bertambah berkali ganda, terutama di kawasan perumahan sedangkan pekerja yang mengendalikan sampah pula bercuti.

“Mungkin dengan cara ini (melantik pihak tertentu secara kontrak) boleh menyelesaikan isu sampah ini yang sering menjadi rungutan di musim perayaan,” katanya dipetik agensi Bernama.

Beliau turut mahu PBT memikirkan kaedah terbaik untuk menjadikan tandas awam di Terengganu sentiasa bersih bagi keselesaan orang ramai dan pelancong asing.

Khidmat PBT terutamanya MBKT dipertikaikan letika rakyat menyatakan bantahan terhadap kenaikan cukai pintu pada bulan lalu.

Setelah menerima bantahan berterusan, kerajaan akhirnya bersetuju untuk menangguhkan kenaikan cukai pintu yang mendadak, sehingga ada yang mencecah 1000%.

sampahmelimpah1Pada bulan Mac lalu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dikritik dan dikecam oleh pelbagai pihak kerana gagal menguruskan kebersihan dan membiarkan sampah sarap tidak diangkut sehingga membusuk.

Tambahan empat lori ‘compactor’ baharu untuk MBKT yang dibeli pada tahun lalu dilihat gagal melancarkan lagi perkhidmatan kutipan sampah oleh pihak berkuasa tempatan itu.

Di Kampung Cina, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Jefri Chua menyifatkan kegagalan pihak berwajib seperti MBKT mengendalikan pembersihan sampah memalukan.

Ini kerana, katanya isu sampah yang berlonggokan terbiar serta tidak dikutip mengikut jadual boleh mencemarkan status Kuala Terengganu sebuah “Bandaraya Warisan Pesisir Air”.