DUNGUN – Pemilihan calon PAS bagi menghadapi pilihan raya perlu mengambil kira bukan sahaja kemampuan memenangi kerusi, malah keupayaan untuk mentadbir kerajaan sekiranya diberi mandat rakyat.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Husain Awang berkata, kebolehmenangan menjadi pertimbangan utama dalam menentukan calon sebelum aspek lain seperti keupayaan mengurus pentadbiran kerajaan dinilai.
“Siapa jadi calon yang ada harapan untuk menang, itulah yang paling layak. Kalau sama-sama boleh menang, kita ambil kira pula kalau menang pilihan raya kita nak jadi apa, nak jadi kerajaan atau pembangkang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Dewan As-Sabiqun PAS Negeri Terengganu, di Dewan Arena Square, semalam.
Menurutnya, calon yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai kerajaan perlu mempunyai keupayaan bersesuaian termasuk dalam aspek kewangan, ekonomi dan pengurusan.
Katanya, perkara itu penting supaya pemilihan calon tidak hanya berorientasikan kemenangan kerusi, sebaliknya mengambil kira keupayaan mereka untuk melaksanakan tanggungjawab selepas pilihan raya.
Dalam pada itu, Husain menyifatkan golongan as-Sabiqun sebagai antara kelompok penting yang menjadi benteng terakhir mempertahankan ketulenan perjuangan PAS berteraskan Islam dan usaha mendaulatkan syariat Allah SWT.
Beliau menambah, golongan berkenaan juga merupakan peneroka membuka jalan kepada generasi baharu meneruskan perjuangan parti melalui pengorbanan tenaga, harta, kemahiran dan pengalaman yang dibina sejak sekian lama.
Menurutnya, pengalaman golongan tersebut termasuk menggerakkan parti dalam keadaan serba kekurangan sehingga PAS mampu mencatat kemenangan pada 1999 perlu dijadikan iktibar oleh generasi hari ini.
“Bukan kita ramai, bukan duit banyak, tetapi itulah jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh as-Sabiqun pada zaman itu sehingga kita mencapai kemenangan yang cemerlang,” ujarnya.
Husain berkata, keteguhan golongan as-Sabiqun yang terus istiqamah dalam perjuangan walaupun berdepan tekanan, penganiayaan dan pelbagai kesukaran turut menjadi contoh kepada generasi pelapis.
Justeru itu, beliau berharap pengalaman serta nilai pengorbanan mereka terus menjadi panduan dalam memastikan kesinambungan perjuangan PAS pada masa hadapan.









