Terengganu, Malaysia

Kerjasama Politik PAS Berdasarkan Keperluan, Bukan Gadai Prinsip

Kerjasama Politik PAS Berdasarkan Keperluan, Bukan Gadai Prinsip

DUNGUN – PAS mempunyai sejarah panjang bekerjasama dengan pelbagai parti politik, namun setiap kerjasama yang dibentuk sentiasa berasaskan keperluan dan strategi semasa tanpa menggadaikan dasar serta prinsip parti.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Husain Awang berkata, pengalaman tersebut menjadi antara kekuatan yang diwarisi golongan Assabiqun dalam mengemudi perjuangan PAS sepanjang perubahan landskap politik negara.

“Semua kerjasama adalah berdasarkan kepada keperluan dan berdasarkan kepada strategi politik semasa semata-mata, tanpa sedikit pun menjejas dan menggadai dasar dan prinsip parti,” jelasnya.

Menurut beliau, PAS pernah bekerjasama dengan pelbagai parti termasuk Parti Semangat 46, Parti Keadilan Nasional, PKR dan DAP dalam beberapa gabungan politik sebelum ini.

Kerjasama Politik PAS Berdasarkan Keperluan, Bukan Gadai Prinsip

Katanya, kerjasama tersebut tidak menjejaskan dasar dan prinsip PAS, sebaliknya parti itu tetap bersedia bergerak bersendirian apabila prinsipnya dicabar.

“Apabila dasar dan prinsip PAS dicabul atau tercabar, PAS sedia untuk keluar bersendirian dan PAS semakin kuat dengan mendapat sambutan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Dialog As Sabiqun di Dewan Arena Square, Dungun, hari ini.

Tambahnya, pengalaman berkenaan menunjukkan golongan Assabiqun mempunyai pengalaman luas dalam menghadapi perubahan politik, termasuk ketika PAS menjadi pembangkang, kerajaan negeri serta sebahagian daripada kerajaan pusat.

Kerjasama Politik PAS Berdasarkan Keperluan, Bukan Gadai Prinsip

Dalam pada itu, Husain berkata pengalaman panjang PAS sejak penubuhannya pada 1951 turut membentuk ketahanan parti untuk terus mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan Islam.

Beliau turut mengimbas kejayaan PAS membentuk kerajaan negeri Terengganu pada tiga tempoh berbeza iaitu 1959 hingga 1961, 1999 hingga 2004 dan bermula 2018 sehingga kini.

“Alhamdulillah, itulah kejayaan yang telah dicapai oleh pemimpin-pemimpin kita yang kalau hidup, merekalah sebenarnya Assabiqun yang ada sekarang ini yang kita raikan,” ujar beliau.

Husain berkata, pengalaman generasi terdahulu perlu dilihat sebagai aset penting kepada kesinambungan perjuangan PAS

“Selain digabungkan dengan kekuatan generasi muda bagi memastikan parti terus relevan dalam menghadapi perkembangan politik semasa,” tambah Husain.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan