DUNGUN – Tiada mana-mana pihak seharusnya bertindak sebagai ‘abang long’ dalam rundingan kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi Perikatan Nasional, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedua-dua pihak perlu berjiwa besar dan meletakkan kedudukan masing-masing sebagai rakan yang setara bagi menjayakan muafakat politik.
“Jangan minta kita sahaja dalam Perikatan Nasional untuk berjiwa besar. Pihak satu lagi pun perlulah berjiwa besar.
“Awal-awal lagi saya pernah sebut kepada rakan-rakan yang kita berunding, tidak ada istilah abang long dalam perbincangan dan perundingan.
“Barulah kita duduk sebagai rakan yang setara untuk berbincang. Jangan memikirkan kehendak dia sahaja tanpa memikirkan bahawa kita juga ada kehendak,” katanya.
Menteri Besar Terengganu iu berkata demikian ketika berucap merasmikan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 dan Sambutan 70 Tahun PAS Kawasan Dungun di sini pada Khamis.
Ahmad Samsuri turut mengumpamakan kerjasama politik seperti pertandingan bola sepak yang memerlukan semua pihak mematuhi peraturan sama tanpa mengubahnya demi kepentingan tertentu.
“Kalau kita bermain bola, dah pakai jersi nak main bola, bila dia tengok pasukan kita itu pemain handal-handal, tiba-tiba ubah undang-undang pertandingan. Tak kena.
“Tak adil kita nak main ubah-ubah pada saat akhir. Kena guna peraturan dan undang-undang yang sama,” katanya.

Menurutnya, prinsip kerjasama politik yang digunakan di Melaka juga sewajarnya diterapkan di negeri-negeri lain.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin parti supaya mengetepikan kepentingan peribadi termasuk keinginan untuk menjadi calon pilihan raya demi mencapai matlamat lebih besar.
Katanya, sekurang-kurangnya 28 kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) berpotensi dirampas sekiranya pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan.
Malah, beliau berpandangan terdapat 10 kerusi Parlimen yang dimenangi DAP turut berpotensi dimenangi sekiranya muafakat politik dapat diatur dengan baik.
“Lihatlah objektif yang lebih besar yang kita nak capai, bukan melihat kepentingan tiap-tiap orang atau kepentingan ketua bahagian atau Yang Dipertua PAS semata-mata.
“Bagi pihak kita, insya-Allah kita boleh kawal kerana mudarat sekiranya kita tidak bermuafakat adalah lebih besar,” katanya.









