Banjir Besar 2022, Terburuk Dalam Tempoh 60 Tahun!

88

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Langit lazuardi seminggu yang lalu sudah kelihatan tak bersahabat, ada torehan gelap yang menutup lapisan indah di dada langit , tiada siapa yang peduli kerana politik kita masih hiruk pikuk dengan kerajaan bermentaliti pembangkang!. Tiga bulan lalu gajah -gajah berundur ke bukit dan kita mentertawakan mitos akan banjir besar yang dilabun oleh orang-orang tua di serambi dan belegar masjid surau kampung. Kami yang membesar di Pantai Timur bukanlah pelik dengan banjir ,cuma skalanya besar atau kecil. Banjir sinonim dengan dua buah negeri jantung hati orang Melayu yang juga merupakan pengkalan kepada PAS semenjak dekad 50an . Hujan yang mencurah -curah lebat memukul atap rumah kami sejak 16 Disember 2022 akhirnya menakung air sehingga beberapa daerah terkesan teruk dengan banjir hujung tahun ini.

Daerah agrarian kami, Besut paling parah dihempap duka, Hulu Terengganu, Setiu, Dungun, Kemaman ,Marang , Pasir Mas, Rantau Panjang, Kuala Krai, Pasir Puteh dan lain-lain daerah berduka. Hampir 70 ribu mangsa terpaksa dipindahkan ke Pusat pemindahan sementara manakala kemusnahan skala besar berlaku akibat banjir besar yang melanda. Di Hulu Besut, kelompok warga emas mengakui inilah banjir terburuk yang mereka pernah alami. Berbanding dengan bah besar 1967 dahulu,airnya besar namun tak melaju , membaham rumah ,kedai , juga tak merosakkan harta awam. Banjir besar 2022 menghancurkan rumah ,bahkan jalanraya mengalami kerosakan. Lihat contoh kerosakan rumah yang teruk di Kampong La Hulu Besut, Batu 13, Kampong Bukit Payong, Panchor, Bukit Mali dan lain lain kampong.

Semenjak hari pertama banjir, PAS melalui Khidmat Malaysia dan rangkaian sivilnya telah turun ke medan operasi, membantu pemindahan mangsa banjir, menyediakan makanan serta membantu pengemasan rumah mangsa-mangsa banjir. Anggota Jabatan Amal dengan identiti baju merah merun dengan jumlah ribuan anggotanya telah bermandi keringat membantu rakyat, disertai oleh ahli-ahli PAS. JPKK pula bertungkus lumus menyantuni rakyat dan mengharmonikan emosi rakyat yang terjejas . Musim gawat ini , semua pihak terjejas termasuk rumah Penghulu air mencecah dada, ada yang mencecah bumbung rumah!.

Kerajaan baru Malaysia sekali lagi wajib bermuhasabah, banjir ini mungkin tidak seteruk tsunami, gempa bumi, krisis peperangan, namun bencana banjir juga membawa kepada kesan psikologi yang mendalam terhadap rakyat negara ini bahkan kebijakan kerajaan dalam menguruskan bencana yang dipertikaikan rakyat. Jangan abaikan projek tebatan banjir, cukuplah otak pembangkang kalian untuk dibawa masuk dalam mesyuarat kabinet. Rakyat mual melihat perangai membohong dan memanipulasi fakta yang ada pada sebahagian Menteri hari ini.

Benar, kenaikan air adalah secara mendadak namun banjir pada musim tengkujuh adalah sebahagian daripada sketsa bencana rutin negara. Sepatutnya pihak kerajaan di bawah selia atur Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah begitu profesional dan terarah dalam pelan pemindahan penduduk, sistem amaran banjir, pengumuman awam yang efektif, penggunaan aset negara seperti ATM, bot, hospital medan, klinik bergerak, generator dan juga sinergi pelbagai pihak jaringan sivil dalam operasi sokongan bantuan banjir. Banjir besar kali ini melibatkan 18,809 keluarga dengan 371 PPS telah dibuka di lima buah negeri.

Jaringan sivil atau masyarakat sivil telah menunjukkan peranan yang efektif saat negara kita ditimpa musibah, berbondong NGO dengan pelbagai jenama turun ke lapangan dan medan membantu masyarakat. Peranan yang cekap dan terus sampai kepada akar umbi peserta musibah. PAS sendiri sebagai gerakan Islam telah menggerakkan seluruh ahlinya untuk turut berkhidmat, bermula fasa pemindahan mangsa, penghantaran makanan, penyediaan makan minum mangsa sehinggalah operasi pasca banjir yang lebih mencabar. Walau tanpa sorotan lensa dan juga kerlipan lampu publisiti, NGO dan gerakan swadaya terus menabur bakti dan merasai denyut nadi rakyat.

Mangsa banjir amat berterima kasih dan terpanar dengan kelibat “tentera merah” atau anggota Unit Amal yang semenjak awal terus membantu mangsa, bahkan ada yang ditimpa kemalangan semasa bertugas. Anak muda berfikrah Islam ini dengan dilatari pelbagai latar belakang sosio ekonomi menjadi benteng paling hadapan dalam mana-mana bencana negara ini. Mereka menumpahkan keringat tanpa mengharapkan tanda jasa, upah mahupun pujian manusia. Guratan wajah penat namun terukir senyuman yang paling indah daripada anggota amal sehingga mampu mengharumkan gerakan Islam yang bukan sahaja berpencak di medan siasah yang bermusim tetapi bersiaga disetiap masa untuk menyelami kejerihan rakyat.

Benarlah,banjir kali ini menjadi parameter sesebuah organisasi penguasa , samada mereka cemerlang dilapangan atau hanya gah pada carta organisasi kerajaan . Tahun lepas dan sebelumnya, Kovid menyengat lebih 130 ribu rakyat negara ini, ekonomi yang suram , polemik dan intriq politik yang tak berkesudahan. Saat ini rakyat dambakan pertolongan dan kecaknaan pemimpin kerajaan untuk menyantuni mereka. Bukannya ghairah beradu kuasa dan membidak catur permainan kuasa, sibuk untuk membalas dendam sedangkan rakyat makin muak dan dihimpit resah akibat bencana banjir skala besar 2022 yang mungkin datang kali kedua dalam minggu ini. Tunjukkan keseriusan kalian untuk memerintah Malaysia, bukan untuk berdrama!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)