Anuar Hayyan Tegaskan Perpaduan Kaum Jadi Teras Agenda Maharani

28

MUAR – Calon DUN Maharani menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum akan terus menjadi teras perjuangannya, di samping menolak dakwaan bahawa PAS tidak mesra terhadap kaum lain.

Menurut Anuar Hayyan, Melayu, Cina, India dan semua kaum merupakan sebahagian daripada masyarakat yang bersama-sama membina negeri dan negara.

Justeru itu, hubungan yang harmoni, saling menghormati serta saling memahami perlu sentiasa diperkukuhkan.

“Ada pihak yang cuba memainkan naratif kononnya PAS tidak mesra terhadap kaum lain.

“Hakikatnya, PAS memperjuangkan keadilan, kebajikan dan kesejahteraan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni masyarakat Cina di 3A Muar Food Court bersama Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, sambil berkongsi pengalaman mempelajari beberapa perkataan dalam bahasa Cina sebagai tanda menghargai kepelbagaian budaya.

Anuar menambah, pengalaman di negeri-negeri yang ditadbir PAS seperti Terengganu dan Kelantan membuktikan masyarakat pelbagai kaum dapat hidup dalam suasana aman, menjalankan aktiviti ekonomi serta mengamalkan budaya dan agama masing-masing dengan penuh hormat.

“Kerana itu, agenda kita ialah membina sebuah masyarakat yang bersatu, saling menghormati dan bekerjasama demi kemajuan DUN Maharani, Negeri Johor dan Malaysia seluruhnya.

“Semoga semangat perpaduan, saling memahami dan hidup bermasyarakat terus menjadi kekuatan kita semua,” katanya.