Oleh: Fatimah Din
KUALA TERENGGANU – Golongan muda mempunyai kuasa besar dalam menentukan masa depan Johor dan tidak seharusnya mensia-siakan peluang tersebut dengan tidak keluar mengundi.
Pengarah Ameerah Johor, Farah ‘Aqilah Abdul Hamid berkata, kelompok belia kini merupakan antara penentu utama landskap politik negeri apabila dianggarkan 43 peratus daripada penduduk Johor terdiri daripada golongan muda.
“Jumlah itu memberi isyarat jelas bahawa suara anak muda mampu mencorakkan hala tuju kepimpinan Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Anak muda bukan lagi sekadar pemerhati dalam politik, sebaliknya mereka adalah pengundi yang mampu menentukan masa depan negeri. Gunakanlah hak mengundi dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam segmen ‘Jom Borak’ bertajuk ‘Undi Bijak, Masa Depan Cerah’ yang disiarkan secara langsung menerusi TikTok Ameerah Terengganu, semalam.
Menurut Farah, pengalaman menyaksikan kadar peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRN Johor 2022 perlu dijadikan pengajaran agar lebih ramai rakyat, khususnya pengundi muda, tampil menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kali ini.
Beliau menegaskan bahawa setiap undi adalah amanah untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak memimpin rakyat dan negeri.
Justeru, katanya, pengundi perlu membuat pilihan berasaskan ilmu dengan memilih calon yang amanah, berintegriti, bebas daripada rasuah, mempunyai kekuatan kepimpinan (qowiy) serta memiliki sifat ‘al-amin*’ yang boleh dipercayai.
“Pengundi yang bijak ialah mereka yang membuat keputusan berdasarkan fakta dan penilaian yang matang, bukan dipengaruhi sentimen, emosi atau persepsi yang mengelirukan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa generasi muda supaya memperkukuhkan kefahaman politik, menilai rekod kepimpinan calon dan tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat palsu atau dakyah yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Jom orang muda, kita menjadi ejen penyebar maklumat yang sahih serta mengamalkan budaya Politik Matang dan Sejahtera (PMS) demi memastikan proses demokrasi berjalan dalam suasana harmoni,” ujarnya.
Mengakhiri sesi tersebut, beliau berkata rakyat Johor kini semakin terbuka dan matang dalam membuat pilihan politik, sambil menyeru seluruh pengundi keluar mengundi pada 11 Julai ini.
“Undi adalah rahsia setiap warganegara, gunakan hak itu sebaik-baiknya demi memilih kepimpinan yang mampu membawa Johor ke arah masa depan yang lebih sejahtera,” katanya.





























