“Dari Sekolah Sampai Surau, Ramai Kenal Ustaz Anuar” – Pengundi Maharani Iktiraf Calon PN

33
Ustaz Anuar bertemu anak-anak muda ketia turun berkempen

MUAR – Calon PAS – Perikatan Nasional (PN) bagi DUN N15 Maharani, Ustaz Mohamad Anuar Hayan bukan nama asing dalam kalangan warga Muar, apabila ramai pengguna media sosial tampil berkongsi pengalaman masing-masing mengenali sosok tubuh itu.

Menerusi beberapa komen yang dikongsikan, Anuar digambarkan sebagai seorang pendidik, al-Hafiz, pembimbing agama, bekas guru, pensyarah serta individu yang aktif memberi kuliah di masjid dan surau sekitar ‘Bandar Diraja’ ini.

Bagi sebahagian warga tempatan, kehadiran Anuar sebagai calon PN-PAS di Maharani bukan sekadar kemunculan musim pilihan raya, sebaliknya beliau sudah lama berada dalam masyarakat melalui pendidikan, dakwah dan khidmat komuniti.

Seorang pengguna media sosial, Mohd Fazdeli Mamat, berkata Anuar merupakan seorang al-Hafiz yang sering memberi kuliah di masjid dan surau sekitar Muar.

“Ustaz Anuar al-Hafiz yang selalu bagi kuliah kat masjid surau sekitar Muar. Terima kasih ustaz, semoga Allah bantu,” tulisnya.

Sementara itu, Maizom Kasmir pula berkongsi pengalaman mengenali Anuar sebagai pembimbing jemaah haji.

“Pembimbing jemaah haji menyampaikan kursus haji semasa saya ke tanah suci tahun 2013,” katanya.

Pengguna lain, Siti Norbaya Md Yunos, turut menyatakan bahawa Anuar pernah menjadi guru dan pembimbing beliau ketika menunaikan haji.

“Bukan calon di tempat saya tapi dia adalah guru saya dan ustaz yang membimbing saya mengerjakan haji pada 2004 dan haji kali kedua pada 2011,” tulisnya.

Selain itu, Firdaus Al-Muari menyifatkan Anuar sebagai bekas guru yang bukan sahaja mendidik pelajar di sekolah, tetapi turut aktif mendidik masyarakat melalui kuliah di masjid dan surau.

Katanya, Anuar seorang yang senang didekati, mesra dengan anak kariah serta dikenali dalam kalangan masyarakat setempat.

Komen-komen tersebut memberi gambaran bahawa Anuar mempunyai hubungan yang sudah lama terbina dengan rakyat Muar, khususnya melalui peranan beliau dalam bidang pendidikan, agama dan masyarakat.

Dalam suasana pilihan raya, testimoni sebegini dilihat menjadi nilai tambah kepada calon kerana ia datang daripada pengalaman sebenar rakyat yang pernah mengenali, belajar atau berurusan dengan beliau.

Bagi pengundi Maharani, faktor calon yang dikenali, mudah didekati dan mempunyai rekod bersama masyarakat boleh menjadi pertimbangan penting selain daripada logo parti semata-mata.

Dengan latar belakang sebagai pendidik, al-Hafiz, aktif di masjid dan surau serta dekat dengan rakyat, Anuar kini membawa imej calon PN yang tidak asing dalam kehidupan masyarakat Muar.

Justeru, dari sekolah sampai surau, nama Ustaz Anuar sudah lebih awal dikenali sebelum beliau turun sebagai calon pilihan raya.