DUNGUN – PAS sanggup mengalah demi penyatuan ummah dan meletakkan keutamaan mempertahankan kedaulatan Islam mengatasi segala kepentingan politik.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dato’ Dr. Alias Razak menegaskan bahawa fokus utama PAS adalah memastikan pihak yang dilihat mencabar kedudukan Islam tidak menguasai pemerintahan.
“PAS tidak mahu menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, kerana parti itu sering mencabar kedaulatan Islam serta hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Matlamat kita jelas. PAS sanggup mengalah demi penyatuan ummah, kita bukan hanya mahu penyatuan dalam Perikatan Nasional, bahkan lebih besar daripada itu, iaitu penyatuan seluruh umat Islam,” katanya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga, berkata demikian, ketika menyampaikan ucapan perasmian Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS DUN Rantau Abang di Dewan Al Husna, Darul Ansor, Kampung Mak Bah di sini semalam.


Dr. Alias turut mengingatkan ahli-ahli PAS agar menerima setiap keputusan yang dibuat oleh parti dengan hati terbuka serta tidak mudah dipengaruhi persepsi negatif terhadap kepimpinan.
“Jangan terkilan dengan keputusan jemaah, setiap keputusan PAS bukan keputusan Presiden semata-mata, sebaliknya diputuskan secara sebulat suara melalui syura dan perbincangan pimpinan, ” tegasnya lagi.
Beliau mengingatkan bahawa budaya bersangka buruk terhadap pemimpin boleh melemahkan kekuatan organisasi.
“Jangan bersangka-sangka dengan pemimpin, perasaan was-was terhadap integriti pemimpin adalah satu penyakit yang perlu dijauhi kerana ia mampu merosakkan ukhuwah dan melemahkan perjuangan.
“Perjuangan kita bukan main-main، pengorbanan amat diperlukan untuk perjuangan yang panjang ini, perkasakan tarbiah, kerja kita berfokus dan bermatlamat, kena jadikan Negeri Terengganu ini contoh kepada negeri lain, ” ujarnya.































