10 Soalan Lisan MP Kuala Selangor

651

1. minta Menteri Kewangan menjelaskan kedudukan dakwaan bahawa projek Hidro Elektrik Bakun yang telah menelan RM7.3 bilion akan menjadi “gajah-putih” kerana tidak ada ketentuan di segi pembelinya tenaga 2,400 MW yang dijana (no takers).  Apakah yang telah dipelajari oleh kerajaan dari pengurusan projek mega dari pengalaman kegagalan projek Hidro Bakun yang tidak wajar diulangi lagi?

2. meminta Menteri Kewangan mengesahkan apakah benar bahawa pada 21 Oktober 2003, Pentadbiran di bawah Mahathir Mohamad telah menawarkan keseluruhan kontrak membina Landasan Berkembar Elektrik Ipoh- Padang Besar dan Seremban-JB kepada syarikat MMC-Gamuda dengan harga RM14.448 bilion melalui kaedah “Swiss Challenge”.  Mengapakah setelah projek ini dibatalkan oleh Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi pada 17 Disember 2003, harga yang ditawarkan kepada tawaran MMC-Gamuda apabila projek diteruskan kembali pada 13 Disember 2007 untuk pakej Ipoh-Padang Besar sahaja adalah pada harga RM12.485 bilion?

3. meminta Menteri Kewangan menjelaskan apakah perhitungan kritikal yang menjadikan kerajaan kembali kepada regim mengizinkan Ringgit diniagakan di luar negara atau dengan izin “internationalisation of ringgit” sementara kerajaan wajar sedar akan risiko “hotmoney” serta ketidakstabilan (volatility) dan kesan-kesan negatif yang lain terhadap sektor pembuatan tempatan dan pelabur jangka panjang langsung (FDI) yang mementingkan kestabilan nilai matawang.

4. meminta Menteri Kewangan menjelaskan aspek pengurusan korporat dan tanggungjawab fudisiari kepada rakyat tentang hal kedudukan Dana 1-Malaysia Development Berhad (IMDB) yang didakwa mempunyai pelbagai “inconsistencies” dalam Laporan Kewangan Tahunan berakhir Mac 2010 sehingga tidak mahu ditandatangani oleh pihak auditor.

5. meminta Menteri Kewangan menjelaskan pendirian kerajaan Pusat tentang pengenalan dinar dan dirham yang diterbitkan oleh kerajaan negeri Kelantan Darul Naim?

6. meminta penjelasan Menteri Pengangkutan samada akan meneruskan perolehan 38 unit Electric Multiple Unit (EMU)-6 koc untuk KTMB dari China South Locomotive yang memilikki Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd of China, setelah pihak SPRM mengesahkan memulakan siasatan tentang dakwaan perbezaan harga yang melampau mengakibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM500 juta.

7. meminta Perdana Menteri menjelaskan konsep “1-Malaysia” meskipun masih dalam tahap “work in progress” seperti yang didakwa beliau kerana telah mencetuskan pelbagai pertentangan fahaman dan perbalahan seperti yang diutarakan oleh Perkasa dan mantan PM Mahathir.

8. meminta penjelasan Perdana Menteri tentang langkah-langkah konkrit yang bakal diambil oleh kerajaan bagi menjana pelaburan swasta U$410 bilion dalam 10 tahun bagi menggerakkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) memandang penurunan FDI negara sebanyak 81% dalam World Investment Report (WIR, 2010) dan kejatuhan Malaysia sebanyak 2 tangga dalam “Global Competitive Report” (World Economic Forum).

9. meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan apakah langkah-langkah konkrit yang kementerian perlu dilakukan bagi mengelakkan fenomena “property bubble” khususnya di lokasi-lokasi “hotspot” sementara berlaku adil dan mesra kepada pembeli rumah pertama yang “genuine“.

10. minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerangkan apakah Bahagian Penguatkuasa Kementerian KPDNKK memantau kenaikan dan puncanya beberapa barang runcit, bawang putih, cili merah, ikan bilis, telur, ayam, 30%-80% sejak penarikan subsidi 5 barang asas yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini?

*Tulisan ini dipetik daripada blog Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat, juga ahli parlimen Kuala Selangor.