Sekolah Harapan; Hamil Luar Nikah dan Ibu Muda Yang sah Perlu Pengasingan

1139

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/yadagang.jpgKUALA TERENGGANU – Percampuran antara pelajar wanita hamil akibat luar nikah dengan pelajar wanita yang hamil kerana berkahwin dalam usia yang muda akan menimbulkan kesan sosial kepada golongan tersebut apabila diletakkan dalam satu bumbung.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Zakaria Dagang berkata sewajarnya Sekolah Harapan yang dicadangkan kerajaan Umno/BN meletakkan perbezaan melibatkan golongan remaja kedua-dua kelompok tersebut kerana latarbelakang kehidupan yang mereka tempuhi akan meninggalkan kesan emosi dan spiritual kepada ibu-ibu muda terbabit.

Beliau berkta demikian ketika diminta mengulas lanjut kenyataannya yang dilaporkan dalam sebuah akhbar arus perdana tempatan.

Menurutnya, kesan daripada tidak mengasingkan dua kategori pelajar terbabit dikhuatiri akan menimbulkan masalah sosial lain terutama mengheret sama pelajar yang hamil kerana berkahwin muda dengan gejala negatif.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir menegaskan, walaupun PAS pada dasarnya tidak bersetuju dengan penubuhan sekolah tersebut, namun PAS tidak lari dari mengambil tanggungjawab memberikan pandangan dan buah fikiran untuk faedah rakyat seluruhnya.

“Kita (PAS) pada dasarnya tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan Umno/BN Melaka itu, namun ia tetap mahu dilaksanakan. Justeru kita akan mengambil pendekatan mmberikan pandangan dan nasihat,”jelasnya

Beliau percaya kedua-duanya memiliki kehidupan sosial yang berbeza dan perlu ada pengasingan bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Sekiranya mereka benar-benar mahu menyelesaikan masalah yang berlaku, perlu ada pengasingan supaya ia tidak mempengaruhi berlakunya perkara tidak diingin kerana kita berpendapat mereka yang hamil luar nikah mungkin lebih ramai berada di sekolah tersebut berbanding yang hamil kerana kahwin muda,” katanya, semalam.

Dalam masa sama, Zakaria menegaskan isu sedemikian hanya boleh diselesaikan melalui penyelesaian asas berdasarkan pelaksanaan undang-undang Islam.