Isu Dr. Zakir Naik; Ulama Seru Umat Islam Solat Hajat, Munajat

1772

Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menyeru umat Islam untuk melakukan solat hajat dan bermunajat sebagai usaha untuk menyokong dakwah Dr. Zakir Naik serta mempertahankannya dari perancangan jahat pihak tertentu.

Dalam masa yang sama, DUPP juga mengarahkan Dewan Ulamak PAS negeri-negeri dan Urusan Ulama kawasan-kawasan untuk mengadakan program yang sama dengan mengumpulkan semua umat Islam setempat.

Ketuanya Dato’ Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, usaha berterusan untuk menghantar pulang pendakwah bebas berasal dari India itu dan desakan supaya menyekat beliau dari menyampaikan ceramah, diteliti secara serius dan cermat oleh pihaknya.

“Sabda Rasulullah SAW: عن النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ( مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى)

“Dari An Nu’man bin Basyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya (HR Muslim),” ujarnya dalam satu kemyataan media semalam.

Oleh itu, beliau mahu semua pihak menerima secara positif tiga aspek yang dikemukakan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam menangani isu Dr Zakir Naik.

“Menghormati budaya debat dan dialog sebagai ruang demokrasi, memelihara perpaduan masyarakat majmuk serta menjaga jaminan keselamatan tanpa mengira agama dan bangsa,” tambah beliau.

Justeru, DUPP melahirkan dukacita atas desakan dan tekanan kepada Dr Zakir Naik semakin bertambah.

“(tekanan) bukan sahaja dari kelompok non-muslim, tetapi juga dari kelompok muslim sendiri walaupun ramai tokoh dan ahli agama menyuarakaan pandangan dan menyokong pendekatan dakwah yang dibawa Dr Zakir Naik,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau merayu dan menyeru umat Islam di seluruh negara untuk meyakini janji Rasulullah SAW.

“bahawa tiada hijab antara doa orang yang dizalimi dengan Allah SWT sebagaimana sabdanya,
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ: (اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ)

“Yang bermaksud, dari Ibnu ‘Abbas radliallahu ‘anhuma bahwa Nabi SAW mengutus Mu’adz ke negeri Yaman lalu bersabda, Takutlah (berhati-hatilah) kamu terhadap doa orang yang dizalimi karena antara doanya dan Allah tidak ada apa-apa penghalang (HR Bukhari),” kata beliau.