Sayang, Kaca Itu Bukan Intan Berharga

941

Dulu, semasa kempen PRU, saya yakin majoriti rakyat masih tidak melupai, yang PH betul-betul menggunakan Nik Omar, anak almarhum TGNA, sebagai umpan kempen, sehingga dikatakan beliau ialah bayangan almarhum. Banyak komen-komen dari FB yang menggunakan nama dan gambar bukan Islam menyatakan bahawa mereka sangat suka melihat gaya dan persamaan yang banyak Nik Omar dengan allahyarham. Entah akaun palsu atau tidak, tapi itulah yang mereka buat tangkap layar dan kongsi.

Melantun-lantun puji mereka kepada Nik Omar malah ibu beliau turut dikutuk oleh yang mengaku bukan Islam ini dengan cacian dan hinaan kerana tidak merestui Nik Omar menjadi calon PH di Dun Chempaka. Mahu sahaja masuk Islam dakwa mereka, kerana berkenan benar dengan Islam yang dibawa Nik Omar, lemah lembut orangnya saling tak tumpah, macam almarhum ayahandanya. Bukan macam saudara dia yang satu lagi itu, Nik Abduh. Disebutkan nama sahaja sudah benci, jahat, perosak perjuangan bapanya. Konon, kata mereka.

Kadang-kadang saya terfikir, entah sudah berapa orang agaknya bukan Islam yang benar-benar masuk Islam kerana terpengaruh dengan Nik Omar ini yang jelas menderhaka kepada bondanya? Kalau setakat memuji di FB dengan nama samaran, ramai yang boleh mengaku. Dan di mana beliau ketika hayat almarhum masih ada? Apa jawatan beliau dalam PAS, dengan tiba-tiba sahaja layak dia menggalas watak pengganti kepada perjuangan ayahandanya? Sekolah Darul Anuar pimpinan beliau pun sehingga diambil kembali oleh keluarga besar TGNA, keluar dari YIK, guru-guru ramai yang berhenti dan macam-macam.

Adakah cukup dengan ‘hampir sama’ dengan allahyarham, maka Nik Omar dikira sebagai Nik Aziz yang asli? Teringat dulu saya dengan seorang penceramah yang memiliki suara gaya Nik Aziz. Bila dia berceramah, orang yang rasa rindu kepada TGNA akan terubat. Tersenyum puas mereka. Khabarnya ditaja pula si penceramah itu. Namun ilmunya tidak sama, ia hanya kembar suara. Bezanya sangat jauh. Si penceramah itu, belajar pun tidak habis. Tetapi begitulah perangai orang yang terpegun. Ada yang asli, tulin yang masih bersama kumpulannya, PAS ditinggalkan setelah pemergian TGNA, semata-mata kerana ada yang hampir sama gayanya, bukan ilmu dan manhajnya.

Ketika saya masih aktif bermain ragbi dahulu, kami pernah bertembung dengan satu pasukan yang gayanya mengikut antara pasukan yang hebat di dunia iaitu New Zealand – All Blacks. Maka sebelum perlawanan, mereka yang berjersi hitam semua itu, memulakan mempersembahkan sebagaimana All Blacks lakukan iaitu, menarikan tarian Haka, tarian tradisi untuk peperangan bagi pahlawan Maori, bagi menggerunkan lawan. Permainan pun dimulakan, dan selepas wisel penamat, kami, lawan yang cuba mereka ditakutkan, membelasah mereka, All Blacks tiruan itu. Jika mereka All Blacks asli, pastinya kami yang dibelasah teruk.

Ia tidak jauh bezanya dengan gadis-gadis Melayu kita yang kurang akal. Mereka sangat berkenan dengan bangla yang datang ke negara kita hanya kerana bangla itu mempunyai paras rupa yang iras-iras pelakon Bollywood, berhidung mancung. Oleh kerana mereka sering menonton filem Bollywood, pengaruh itu terbawa-bawa sehingga ke luar filem. Mengimpikan hidup bahagia, kaya raya dengan suami yang kacak.

Maka mudahlah mereka ditipu dengan wajah yang hampir sama, walaupun bau badan si bangla itu, kambing pun kalau boleh mahu menutup hidung bila berselisih dan kad ATM gadis-gadis itu sering di tangan si bangla kekasih hati mereka. Yang kaya bangla, yang sedap, bangla sebab angan-angan gadis-gadis itu yang tidak berpijak di bumi. Samalah pengundi-pengundi dahulu percayakan yang nampak macam sama diumpan oleh PH. Sehinggakan PAS yang telah memberikan komitmen yang sangat tinggi bagi survival Islam selama puluhan tahun, turut menjadi mangsa fitnah mereka.

Segala yang nampak baik, diberikan harapan palsu oleh mereka bahawa mereka akan melakukan semuanya itu dengan segala contoh tiruan. Selepas almarhum mati, tiba-tiba dipuji, konon tertarik kepada anak, mengingatkan mereka kepada allahyarham. Ketika almarhum hidup, tiada pula dipuji dan mahu diikuti. Sudahlah begitu, disayangi pula anak yang jelas lari dari jalan almarhum. Tiada cara lain yang lebih baik untuk menipukah? Dan kepada yang masih terpedaya, tiada tipu daya lain yang lebih susahkah untuk anda dipedaya? Semudah ini sahajakah?

Kini Nik Omar masih terus menjalankan tugasannya, tanpa dia peduli. Berkokok dia hanya apabila kepentingan tuannya diusik, diam dia bila apa yang dirasakan tiada keuntungan dan tidak berpihak kepadanya. Dahulu katanya PRU bukan untuk memilih agama, sekarang agama kita di bawah PH kelihatannya terpaksa memilih samada ikut DAP kah, atau hukum kah. Masih mahu lagi kita percaya kepada mereka? Tiada DNA almarhum Nik Aziz langsung dalam bab menipu ini dan menjadi pak turut kepada DAP, dimana DAP pernah disergah oleh almarhum kerana Islam.

Paling memeningkan, bukan Islam lebih ramai masuk Islam melalui dakwah Zakir Naik, individu yang Nik Omar seperti bersetuju mahu dihambat keluar dari Malaysia berbanding Nik Omar sendiri konon dipuja orang sebagai berakhlak tinggi itu. Inilah dikatakan jenis tok bomoh kampung, orang sekampung tak mendatangi dia untuk berubat, lebih rela pergi jauh mencari yang lebih mujarab, kerana orang kenal tok bomoh kampung itu siapa.

Orang kafir memuji Nik Omar, tapi tak masuk Islam dan orang kafir membenci Zakir Naik dan ramai yang masuk Islam. Teringat pesanan keramat PH dahulu, diambil dari nukilan mantan Presiden PAS, Dato’ Fadzil Noor, jika musuh mula memuji, maka mesti ada sesuatu yang tidak kena….kan? Sekarang dapatkah anda menghidu yang mana pendakwah asli, mana yang bukan?

Mohd Nasir Abdullah
Bukit Payong, Marang
22 Ogos 2019