Realiti Politik, Ekonomi Melayu, Islam Makin Lemah

2405

KUALA TERENGGANU – Dengan tidak menafikan ada kejayaan yang telah dicapai, sehingga kini realitinya kekuatan politik orang Melayu, Islam makin hari semakin lemah.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu Haji Yahaya Ali berkata, dalam bidang ekonomi, penduduk majoriti negara ini itu masih jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain

Katanya, rakyat pada umumnya tidak lagi berminat dengan suara-suara retorik dan permainan angka tetapi mereka mahu melihat pihak yang berkuasa benar-benar menterjemahkan keazaman politik (political will).

“hari ini (Sabtu 1 September) saya turut hadir Kongres Masa Depan Bumiputra dan Negara (KBN 2018) anjuran Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (EPU, MEA) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

“Perbincangan tentang masa depan orang Melayu, Islam dalam pelbagai dimensi bukan perkara baru dan banyak polisi telah diperkenalkan termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikatakan ingin dimansuhkan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang diterbitkan dalam lama social beliau, hari ini.

Sehubungan itu, Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu itu mahu, supaya orang Melayu, Islam menjadi penguasa sebenar negara ini, didaulatkan dan menguasai bidang ekonomi khususnya untuk generasi yang akan datang.

“Dalam masa yang sama negeri-negeri pantai timur khususnya Terengganu dan Kelantan sudah sampai masanya tidak didiskriminasi lagi terutama dari segi kemudahan infrastruktur dan peluang-peluang projek yang berdaya maju.

“Adalah menjadi suatu perkara yang amat memalukan apabila soal perbedaan ‘iklim politik’ masih menjadi hujjah dan alasan kepada setengah pihak sedangkan dalam masa yang sama kita bercakap soal reformasi dan ‘Malaysia Baru’.

“Bukankah Terengganu dan Kelantan adalah sebahagian dari Malaysia dalam sistem federalisma yang sepatutnya juga memerlukan suatu reformasi?,” soal beliau.