KUALA TERENGGANU – Kerajaan rakyat PAS Terengganu yang baharu akan memberi pendidikan, kempen serta penerangan bagi menyedarkan masyarakat dalam perlaksanaan syariah dan bukan terus menghukum.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan negeri dalam proses penambahbaikan kepada Mahkamah Syariah, Jabatan Penguatkuasa dan juga Jabatan Pendakwaan.
“Di bawah portfolio ini, kita mulakan dengan proses pendidikan, kempen dan penerangan bagi menyedarkan masyarakat khususnya kepada generasi baharu orang muda.
“Saya tengok kebanyakkan orang muda sekarang sudah ramai memahami dan mempraktikkan tentang Islam. Ini kerana, mereka lahir dari Pendidikan Islam yang diwujudkan hari ini.
“Sebab itu, manifesto kita (PAS) pada pilihan raya lalu mahu menambahkan pusat-pusat Pendidikan Islam bagi memenuhi permintaan rakyat,” ujarnya.


Persoalan itu menuntut penjelasan dari soalan lisan asalnya oleh Adun Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim, apakah usaha dan perancangan kerajaan dalam memperkasakan pelaksanaan Syariah di negeri Terengganu.
Sehubungan itu, kata Ustaz Satiful Bahri bahawa, kerajaan negeri menghadapi kekangan dan pemisahan bidang kuasa dengan kerajaan pusat.
“Kita (Terengganu) ada kekangan dan pemisahan bidang kuasa yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bidang kuasa kerajaan pusat.
“Sebab itu, kita (PAS) melalui Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang telah membawa usul (RUU355) dan harap dapat dibahas di Parlimen akan datang ini.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, berharap agar kerajaan pusat di bawah Pakatan Harapan lebih mesra dengan Pelaksanaan Syariah Islam.
“Sebahagian besar dari Enakmen Hudud dan Qisas itu akan boleh dilaksanakan jika RUU Akta355 diluluskan, Insya’Allah.
“Kita tengok kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu memerintah pusat inilah. Jika dia (PH) tidak beri kelulusan itu maknanya, kita hanya (dibenar) melibatkan bidang kuasa takzir sahaja.
“Sekarang kita hanya boleh laksanakan sebahagian sahaja dari Enakmen Jenayah Syariah sebagaimana yang telah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada 2002,” ujarnya.


“Ini (Enakmen) hanya melibatkan orang Islam sahaja termasuk dalam isu hudud dan qisas, tidak melibatkan orang bukan Islam. Itu hanya untuk orang Islam sahaja.
“Kita (kerajaan PAS) harap pihak kerajaan PH lebih mesra ke arah Pelaksanaan Syariah Islam di negeri ini,” tegasnya.
Persidangan Dun Terengganu kali ini berlangsung selama empat hari iaitu hari pertama majlis mengangkat sumpah 32 orang ahli-ahli dewan, hari kedua berlangsungnya Istiadat Pembukaan Dun Terengganu oleh Sultan Terengganu dan hari ketiga serta keempat, persidangan penuhnya.




























