Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU – Projek pengawal hakisan pantai di Kampung Tanjung Gelam dan Pantai Kolam Mengabang Telipot, Kuala Nerus siap sepenuhnya masing-masing pada April tahun lalu dan Mac tahun ini.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Negeri telah melaksanakan kerja-kerja pembinaan struktur lapis lindung batu sepanjang 200 meter bagi mengawal hakisan pantai di Kampung Tanjung Gelam Kuala Nerus.
Katanya, projek yang menelan kos sebanyak RM1.15 juta itu telah dimulakan pada Februari tahun lalu dan siap pada April tahun yang sama dengan menggunakan peruntukan negeri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 14 di sini pada 3 Julai.


Beliau ingin Kerajaan Negeri menyatakan perkembangan projek pemecah ombak dan cadangan lanjut untuk melalui musim tengkujuh sekitar empat bulan lagi.
Dr. Ahmad Samsuri berkata, bagi hakisan di Kampung Kolam serta kawasan sekitarnya, JPS Negeri telah melaksanakan kerja-kerja darurat mengawal hakisan pantai pada November 2017.
“Kerja yang menelan kos RM1.7 juta ini telah siap sepenuhnya pada Mac 2018 dan dibiayai oleh peruntukan Kerajaan Persekutuan.


Untuk mengatasi musim tengkujuh tidak lama lagi, Dr. Ahmad Samsuri berkata, pihak JPS Negeri sedang di peringkat akhir, penyediaan dokumen kerja untuk menyambung pembinaan ‘rock revelment’ sepanjang 100 meter ke utara pantai berkenaan dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM485 ribu.
Menurutnya, bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Pusat melalui JPS Malaysia sedang di peringkat penyediaan rekabentuk terperinci yang melibatkan cadangan penambakan laut (beach nourishment) dan benteng pemecah ombak (breakwater).


“Bengkel Pengurusan Nilai (Value Management) bagi cadangan projek ini juga telah diadakan pada 19 hingga 23 Mac 2018 di sebuah hotel di sini.
“Tender bagi projek ini dijangka akan dibuat pada tahun depan, tertakluk kepada satu lagi penilaian teknikal melalui Bengkel Kejuruteraan Nilai (Velue Engineering), ” jelasnya lagi.





























