Kerajaan PAS Sedia Kerjasama Demi Rakyat

2736

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, tidak kira atas apa jua isu yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negeri, PAS sedia bekerjasama dengan semua pihak.

Justeru, katanya tidak timbul persoalan dengan siapa yang kerajaan PAS hendak bekerjasama bagi membangunkan negeri ini.

“Bagi pihak PAS di negeri Terengganu, kita bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk kepentingan rakyat termasuk isu royalti.

“Dan tidak kiralah dalam apa jua isu, yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negeri. Jadi tidak timbul dengan siapa kita bekerjasama,” ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Menteri Besar, Tingkat 16, Wisma Darul Iman, pada Selasa, 15 Mei.

Justeru, beliau berharap agar generasi baharu dapat memahami pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan itu.

“Saya percaya dengan pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), dan generasi baharu yang ada pada hari ini hendaklah memahami politik untuk menyelesaikan masalah, bukan politik yang untuk menimbulkan masalah baru dalam masyarakat kita,” jelasnya.

Menteri Besar Terengganu itu juga mengingatkan rakyat bahawa, perbezaan politik dibolehkan selagi tidak menjejaskan kepentingan rakyat dan negeri.

“Pada hari ini sangat bersejarah kepada kerajaan negeri, di mana dapat diadakan majlis serahan tugas daripada Dato’ Seri Ahmad Razif kepada saya, selaku Menteri Besar Terengganu yang baharu.

“Saya amat menghargai sesungguh-sungguhnya kedatangan Dato’ Seri Ahmad Razif ke Pejabat Menteri Besar pada hari ini. Ini suatu permulaan yang baik, bahawa kita di negeri Terengganu ini.

“Kita boleh sahaja berpolitik dengan apa sahaja pegangan dan kefahaman. Tetapi, akhirnya kita ingin mencari yang terbaik untuk rakyat negeri Terengganu dan negeri Terengganu secara umumnya.

“Saya bagi seluruh kepimpinan kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Ahmad Razif yang sudi bersama kita pada petang ini,” ujarnya.

Sebelum itu, diadakan Majlis Serahan Tugas daripada bekas Menteri Besar kepada Menteri Besar Terengganu yang baharu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang disaksikan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A Rahman Yahya dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.