Penyumbang Rasuah Bersama Pihak Yang Paling Berkuasa

26

Rasuah ialah penyakit yang merosakkan negara dan seluruh rakyatnya serta salah laku terhadap rezeki Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Islam melaknat semua yang terlibat dengan kesalahan rasuah, bukan hanya segelintir penerimanya. Rasuah merosakkan politik pentadbiran (khilafah) yang menjadi salah satu tugas manusia diciptakan Allah bersama petunjuk-Nya.

Paling menjadi keutamaan ialah rasuah penyumbang yang paling kaya kepada pihak yang paling berkuasa memerintah negara. Tauke paling besar dan kaya hartanya adalah paling besar rasuahnya dan paling tinggi jawatan penerimanya.

Seterusnya, pihak yang menerima rasuah di bawahnya sering kali dijadikan mangsa tindakan undang-undang, khususnya kalangan yang berpendapatan tidak cukup atau nafsu yang tidak puas dengan pendapatan yang telah mencukupinya. Adapun golongan yang lebih besar kedudukannya mengatasi undang-undang atau boleh menembusi undang-undang.

Firman Allah SWT mendedahkan semua pihak yang terlibat:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٨

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil (haram) dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada pihak yang berkuasa, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 188]

Pihak yang berkuasa ialah pihak yang memerintah negara kerana mereka yang merancang segala projek pembangunan, pengurusan hasil negara, dan perjalanan pentadbiran kepada rakyat. Dimulakan oleh penyumbang rasuah dalam kalangan mereka yang telah berharta dan terus tiada kepuasan nafsu mereka mencari harta mengatasi akal yang sihat dan berilmu, dengan menambahkan harta mereka secara haram.

Adapun mereka yang berada di bawah sering kali menjadi mangsa hukuman dalam negara yang tidak beriman bahawa semua pihak berada bawah perlembagaan dan undang-undang.

Para ulama’ menegaskan:

‌النَّاسُ ‌عَلَى ‌دِينِ ‌مُلُوكِهِمْ.

“Manusia itu terpengaruh kepada kalangan yang paling berkuasa memerintah mereka.”

Penyakit bermula daripada kepala negara. Pihak pemerintah negaralah yang menjadi pangkal kepada gejala rasuah kerana mereka ialah teladan yang sebenar, khususnya apabila menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka dan melindungi mereka yang menyumbang rasuah kepada semua lapisan, dengan cara tidak bertindak atau mengambil tindakan terpilih yang tidak menghukum diri sendiri atau keluarga dan kroni yang menerima rasuah.

Pihak yang berkuasa pula gagal menangani jenayah rasuah jika diri mereka sendiri juga mengambil rasuah.

Dalam negara demokrasi liberal, bermula daripada menjadi ketua parti pada semua peringkat sudah pun melalui rasuah, sehinggalah memenangi pilihan raya juga dengan rasuah.

Apabila peringkat teratas bermulanya rasuah, bagaimana boleh mengubati penyakit rasuah kerana sama-sama berpenyakit?

Rasuah boleh menyebabkan pihak yang sepatutnya benar-benar mendapat bantuan dan kemudahan terpinggir serta harta negara menjadi bocor di pertengahan jalan.

Islam menetapkan hukum yang adil itu dilaksanakan kepada semua, termasuk diri sendiri atau keluarga terdekat dan kroni. Firman Allah SWT:

۞يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِيۡنَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu! Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]

Islam melaknat semua pihak yang terlibat dengan rasuah, bukan satu pihak sahaja berdalilkan hadis Rasulullah SAW:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌الرَّاشِيَ ‌وَالْمُرْتَشِيَ.

“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Qada’, no. 3580 dan al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Ahkam, no. 1337, daripada ‘Abdullah bin ‘Amr]

Laknat bermaksud doa atau pengisytiharan supaya seseorang dijauhkan dan disingkirkan daripada rahmat serta keampunan Allah SWT. Apabila Allah dan Rasul melaknat seseorang, bererti individu tersebut dimurkai dan diusir daripada sebarang kebaikan.

Apabila pihak yang paling berkuasa sama-sama melakukan rasuah, maka ramai yang terlepas daripada tindakan undang-undang kerana sama-sama melanggar undang-undang. Pencuri dan perompak tidak menghukum sesama pencuri dan perompak.

Kenyataan yang berdegar-degar memerangi rasuah laksana pencuri melaungkan seruan, “Pencuri! Pencuri!” bagi melepaskan dirinya yang diburu oleh pihak yang mahu menangkapnya.

Islam menegaskan bahawa pendapatan rasuah termasuk dalam harta haram yang berdosa di sisi Allah, bukan hanya di sisi undang-undang dunia. Rasuah juga termasuk dalam harta buruk atau jahat yang menjadi sebab amalan seseorang itu ditolak oleh Allah.

Sabda Rasulullah SAW:

أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ ‌طَيِّبٌ ‌لَا ‌يَقْبَلُ ‌إِلَّا ‌طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ.

“Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan perkara yang baik, dan sesungguhnya Allah menyuruh kepada orang yang beriman apa-apa yang terlebih dahulu diwajibkan kepada para rasul-Nya!”

فَقَالَ: {يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرُّسُلُ كُلُواْ مِنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَٱعۡمَلُواْ صَٰلِحًاۖ إِنِّي بِمَا تَعۡمَلُونَ عَلِيمٞ}.

Firman Allah SWT, “Wahai para rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh! Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Mu’minun: 51]

وَقَالَ: {يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ}.

Dan firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu…!” [Surah al-Baqarah: 172]

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ، أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Kemudiannya, Rasulullah SAW menceritakan seseorang yang banyak berjalan ke sana ke mari (mengerjakan amal) sehingga jasadnya berlumuran debu, rambutnya kusut-masai. Tangannya ditadah ke langit (berdoa dengan berkata), “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia diberi makan sejak kecil dengan sumber yang haram. Bagaimana Allah menerima doanya? (Doanya ditolak kerana harta haram). [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, no. 1015, daripada Abu Hurairah]

Mereka yang hanya meletakkan kesalahan rasuah dari segi undang-undang ciptaan manusia dan bukannya hukum Allah menganggap diri mereka bebas dalam kehidupan dunia sahaja, maka harta haram seperti rasuah digunakan untuk amal kebajikan seperti haji, umrah, derma kebajikan, dan sebagainya.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧

“Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa-apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu! Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk, lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” [Surah al-Baqarah: 267]

Apabila penyumbang rasuah yang sebenar membiayai pihak yang paling berkuasa memerintah negara, lalu menjadi akar umbi yang menyuburkan rasuah, maka perlu dilihat siapa yang menjadi pihak yang paling berkuasa dalam negara terkini berada dalam musim rasuah yang berlaku.

Harta negara yang berapa banyak sekalipun, hasilnya tidak memberikan keberkatan kepada negara sekiranya pemerintahnya tidak bertaqwa kepada Allah. Firman Allah SWT:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩٩ أَوَ لَمۡ يَهۡدِ لِلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡأَرۡضَ مِنۢ بَعۡدِ أَهۡلِهَآ أَن لَّوۡ نَشَآءُ أَصَبۡنَٰهُم بِذُنُوبِهِمۡۚ وَنَطۡبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَهُمۡ لَا يَسۡمَعُونَ ١٠٠

“Sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka. (96) Maka, adakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari ketika mereka sedang tidur? (97) Atau adakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari sepenggalah naik ketika mereka sedang bermain? (98) Maka, adakah mereka merasa aman daripada azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman daripada azab Allah kecuali orang-orang yang merugi. (99) Dan adakah belum jelas bagi orang-orang yang memusakai suatu negeri sesudah (lenyap) penduduknya, bahawa kalau Kami menghendaki, tentu Kami azab mereka kerana dosa-dosa mereka; dan Kami kunci mati hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (pelajaran lagi)? (100)” [Surah al-A‘raf: 96–100]

Sifat taqwa tidak ada dalam ideologi politik yang dipisahkan daripada agama dan kalangan yang bernafsu melawan agama, termasuk negara Islam juga ditamatkan ajalnya apabila berpenyakit.

Allah menguji semua manusia dalam kehidupan dunia. Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nya sahajalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]

Harta dan pangkat ialah ujian Allah kepada manusia yang dicipta bersama alam dunia yang diamanahkan kepada mereka.

Manusia yang bernafsu mengatasi akal, tidak merasa puas mengejar harta tanpa mengira halal dan haram. Firman Allah SWT:

أَلۡهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ ١ حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ ٢ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ ٣ ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ ٤ كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ ٥ لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ ٦ ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ ٧ ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَئِذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ ٨

“Bermegah-megah telah melalaikan kamu. (1) Sampai kamu masuk ke dalam kubur. (2) Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). (3) Dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui. (4) Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin. (5) Nescaya kamu benar-benar akan melihat Neraka Jahim. (6) Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ain al-yaqin. (7) Kemudian, kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang keni‘matan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu). (8)” [Surah al-Takathur: 1–8]

Sabda Rasulullah SAW:

لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ ‌وَادِيًا ‌مِنْ ‌ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ.

“Kalau seseorang anak Adam (manusia) mempunyai satu lembah yang penuh emas, nescaya dia mahu mempunyai dua lembah. Tidak boleh memenuhi mulutnya melainkan disumbat tanah. Dan Allah tetap menerima sesiapa yang bertaubat.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, no. 6439 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, no. 1048, daripada Anas bin Malik]

Lebih malang lagi apabila pikulan amanah memimpin negara dijadikan peluang untuk mengejar dan mendapatkan harta yang menjadi sebab rosaknya negara.

Sabda Rasulullah SAW:

‌إِذَا ‌اتُّخِذَ ‌الفَيْءُ ‌دُوَلًا، وَالأَمَانَةُ مَغْنَمًا، وَالزَّكَاةُ مَغْرَمًا، وَتُعُلِّمَ لِغَيْرِ الدِّينِ…

“Alamat kemusnahan dunia itu berlaku apabila harta negara berpusing dalam kalangan mereka yang tertentu, amanah (memimpin negara) dijadikan peluang untuk mengumpul harta, zakat dianggap membayar hutang (bukan ibadat), dan menuntut ilmu bukan kerana menegakkan agama…” [Hadis riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Fitan, no. 2211, daripada Abu Hurairah]

Muhasabah terhadap jenayah rasuah wajib dilakukan pada semua peringkat, khususnya terhadap golongan yang paling berkuasa dalam kerajaan terkini. Adapun yang sebelumnya dijadikan iktibar, bukan alasan untuk menyalahkan orang lain tanpa melakukan muhasabah diri sendiri.

Seluruh rakyat wajib menjadi hakim yang adil kalau kerajaan tidak berubah. Firman Allah SWT:

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَـٰٓئِكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٧١

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma‘ruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, serta mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberikan rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Tawbah: 71]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 27 Muharram 1448 / 13 Julai 2026

[Bil: 44 / 2026]