Ahmad Razif Janji Sedia Bantu Kerajaan

2157

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: Mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berjanji sedia membantu kerajaan PAS Terengganu membangunkan negeri ini jika diperlukan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, turut merakamkan ucapan tahniah di atas kemenangan PAS negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu.

“Saya ucap tahniahlah kepada parti PAS yang telah memenangi PRU14. Saya selaku Pengerusi Barisan Nasional menerima kekalahan ini dengan berlapang dada dan yang paling pentingnya untuk rakyat.

“Selepas daripada ini, saya tidak ada masalah untuk membantu. Sekiranya tenaga saya dan rakan-rakan diperlukan, kerana yang paling penting hari ini ialah kita kena saling bantu-membantu, saling menolong.

“Pilihan raya yang lepas itu lepaslah. Jadi apa yang perlu kita lihat bagaimana untuk memastikan bahawa rakyat itu akan mendapat manfaat daripada apa yang diperjuangkan.

“Sama sahaja, mana-mana parti yang menang (pilihan raya) akan membuat yang terbaik untuk rakyat. Saya tidak ada masalah. Kita perlu berjiwa besar dan yang paling penting pada hari ini,

“kita perlu manfaatkan masa-masa yang mendatang itu dengan sebaik-baiknya,” jelas beliau dalam satu sidang media di Pejabat Menteri Besar Terengganu, Tingkat 16, Wisma Darul Iman, Selasa 15 Mei.

Sebelum itu, diadakan Majlis Serahan Tugas daripada bekas Menteri Besar kepada Menteri Besar Terengganu yang baharu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang disaksikan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A Rahman Yahya dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu, menggantikan Dato’ Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, beliau berjaya mengekalkan kerusi Dun Seberang Takir dalam pertandingan tiga penjuru dengan PAS dan Parti KeADIlan Rakyat (PKR).