PAS Yakin Sokongan Rakyat Johor Meningkat, Seru Pengundi Keluar Mengundi Dengan Yakin

21
YB Ustaz Maliaman

KUALA TERENGGANU – PAS optimis penerimaan rakyat terhadap parti itu di Johor semakin positif susulan pelaksanaan kempen secara berfasa yang memberi tumpuan kepada pendekatan kebajikan dan santunan masyarakat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, YB Maliaman Kassim, berkata kempen yang sedang berlangsung kini memasuki gelombang ketiga.

Menurut beliau, antara fokus utama kempen ialah program ziarah kebajikan bagi menyantuni golongan yang memerlukan serta mendekati masyarakat secara langsung.

Beliau berkata perkembangan kempen menunjukkan semakin ramai rakyat Johor mula memahami perjuangan PAS selepas sebelum ini hanya melihat parti itu dari sudut yang terhad.

“Seolah-olah pemikiran orang ramai sudah berada di pintu pemahaman. Dulu mereka melihat dari belakang, sekarang mereka sudah mula mengenali dan memahami PAS dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui pihak media, dalam sebuah program makan durian bersama rakyat DUN Kuala Besut, di Pengkalan Sentol, semalam.

Mengulas mengenai calon Perikatan Nasional (PN) di Sungai Balang, Maliaman menyatakan keyakinannya bahawa calon berkenaan mampu mencatat kemenangan.

Beliau turut menyeru pengundi, khususnya anak-anak muda dan perantau yang berada di luar kawasan, supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.

“Balik mengundi dengan penuh keyakinan dan pangkah Perikatan Nasional. Jangan teragak-agak. Kita mahu PN menjadi kerajaan atau pembangkang yang mesra rakyat,” tambah beliau.