PRN Johor: Isyarat Politik Yang Tidak Boleh Diabaikan

23

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah berakhir dan rakyat telah membuat keputusan. PAS mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, atas kejayaan mengekalkan pentadbiran negeri Johor.

Walaupun PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini, keputusan rakyat hendaklah diterima dengan hati terbuka serta dijadikan asas untuk bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan.

Namun, selepas tamatnya pilihan raya, tumpuan kini beralih kepada janji-janji yang dibuat sepanjang kempen.

Antara yang paling mendapat perhatian ialah kenyataan YB Nga Kor Ming, yang berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya Pakatan Harapan gagal mencapai sasaran dalam PRN Johor.Sudah semestinya rakyat sedang menunggu sama ada janji tersebut akan ditunaikan.

Pemimpin DAP ini perlulah menunaikan janji yang lafazkan. Jika tidak DAP adalah parti yang hanya pandai berjanji namun tiada integriti.

Keputusan PRN Johor juga memperlihatkan bahawa Pakatan Harapan masih gagal memulihkan keyakinan rakyat. Bukan sahaja gagal menawan Johor, malah mereka turut kehilangan beberapa kerusi yang dimenangi sebelum ini. Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah Perdana Menteri dalam sejarah yang kerap turun berkempen dalam PRN.

Ternyata kehadiran beliau masih belum cukup meyakinkan kembali rakyat yang semakin nampak beliau dan pasukannya dari parti PH tidak amanah menunaikan janji.

Bagi PAS dan PN, keputusan ini perlu dijadikan medan muhasabah. Kegagalan mempertahankan tiga kerusi menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya dari aspek penyelarasan organisasi, kekuatan jentera dan kesatuan dalaman. Post mortem yang menyeluruh semestinya akan dilakukan supaya persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan dan pilihan raya seterusnya menjadi lebih tersusun dan berkesan.

Dalam masa yang sama, saya melihat kemunculan parti baharu, BERSAMA dan juga parti MUDA masih belum berjaya menawarkan alternatif yang benar-benar diyakini rakyat. Sebaliknya, pertandingan pelbagai penjuru telah memecahkan undi pembangkang dan memberikan kelebihan yang besar kepada BN.

Daripada keseluruhan keputusan PRN Johor ini, saya melihat kemungkinan besar Pilihan Raya Umum Ke-16 tidak akan diadakan dalam masa terdekat. Kerajaan dijangka meneruskan pentadbiran sehingga hampir tamat penggal bagi memanfaatkan kelebihan semasa.

Apa yang pasti, kemenangan besar BN menjadikan parti itu memiliki pengaruh semakin besar dalam menentukan dasar dan hala tuju kerajaan Persekutuan. Ia akan menjadi duri dalam daging kepada kerajaan PH-BN.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
12 Julai 2026