Jangan Biarkan Kerajaan ‘Tuli’ Terus Memerintah

2277

DUNGUN – Rakyat diminta supaya tidak membiarkan kerajaan yang disifatkan sebagai ‘ tuli’ terus memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU14) nanti.

Ahli Parlimen Dungun, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sepatutnya kerajaan mendengar suara dan keinginan rakyat.

“Kita bangkit GST haram, tak boleh kutip dikalangan orang miskin, dia tak dengar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Markas Besar DUN Rantau Abang pada Jumaat, 5hb Januari, di Kampung Balai Besar, di sini.

Malah katanya, kerajaan Barisan Nasional tidak mengendahkan saranan PAS agar waktu-waktu tertentu, contohnya ketika sesi persekolahan akan dibuka ataupun musim perayaan atau di kedai-kedai rakyat yang miskin berbelanja seperti Kedai RM2 dikecualikan GST.

Justeru itu, Yang DiPertua PAS Dungun itu mengajak rakyat ‘membuang’ kerajaan yang ada sekarang.

Ustaz Wan Hassan turut kesal kerana peruntukan kerajaan sebanyak RM6 juta setahun kepada ahli Parlimen pembangkang dinafikan.

“Saya kata kalau boleh ke (pada) saya RM6 juta, sedapnya, kita ada empat DUN, kita boleh bagi RM1.5 juta ke satu DUN……..RM 100,000 sebulan tetapi,

“ke mana peruntukan itu, kitapun tak tau ke mana?,” soal beliau.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, YB. Cikgu Alias Harun, memuji kerajaan Sarawak yang prihatin kepada rakyat negeri tersebut.

“Sekarang ini, beberapa ramai pegawai Petronas (bekerja di Sarawak) yang balik ke negeri masing-masing, kerana kerja-kerja tersebut hendak diberikan kepada pekerja tempatan,” ujar beliau.

Malangnya, kata beliau, orang-orang muda di Terengganu terpaksa bersaing dengan pekerja luar untuk mendapatkan pekerjaan.

“Sengsara sekarang ini…….anak-anak muda tiada peluang pekerjaan yang tetap, walaupun negeri Terengganu,

“dekat sahaja Dungun ni….. Kerteh, anak-anak muda (oleh) lihat, siapa yang dibei peluang bekerja,” ujar Ketua Penerangan PAS Dungun itu.