KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS Terengganu menggesa supaya pihak berkuasa mengambil tindakan segera keatas Siti Kasim dan David Orok kerana menghina Islam dan Nabi Ibrahim A.S.
Ketuanya, Hajah Zarani Othman berkata, kedua-dua individu itu telah mempermainkan akidah dan kepercayaan umat Islam.
“Kami dari Dewan Muslimat PAS Negeri amat mengharapkan supaya kerajaan yang berautoriti mengambil tindakan, jumpa Siti Kasim dan David Orok ini, beri penjelasan dan sebagainya kerana ianya melibatkan aqidah,” tegasnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis terhadap kedua-dua individu tersebut di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini pada Isnin, 18 September.
Menurut Zarani, laporan dibuat merujuk kepada catatan di dalam ‘facebook’ Siti Kasim pada 8hb September jam 9.00 malam dan juga pada 10hb September serta kenyataan David Orok dalam laman sosial yang sama pada 1hb September 2017.
Katanya, berdasarkan ajaran Islam, mereka telah membuat tafsiran yang menyimpang dan menyesatkan mengenai pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.


Sehubungan itu, Siti Kasim juga sewenang-wenangnya menyangkal mimpi Nabi Ibrahim, sedangkan di dalam Surah As-Saffat Ayat 102, memang Allah menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim bermimpi, dan mimpi nabi adalah daripada Allah yang merupakan perintah Allah.
“Dia (Siti Kasim) juga mengaitkan (ibadah) korban dengan pembunuhan, dengan erti kata lain, korban ini dengan (adalah) jenayah dan tindakan Nabi Ibrahim adalah satu tindakan dosa dan bertentangan dengan agama,” tambah beliau.


Manakala David Orok pula, kata Zarani, telah memuatkan dalam dalam laman sosialnya pada 5 September pukul 10.51 malam, bahawa Nabi Ismail adalah anak ‘luar nikah’, hasil hubungan ‘zina’ Nabi Ibrahim dengan Siti Hajar.
Justeru itu, Muslimat menggesa tindakan segera diambil, kerana isu yang menghiris perasaan dan melibatkan orang Islam ini, menjadi ‘permainan’ mereka yang tidak bertanggungjawab.
“dan kita juga tidak mahu apa yang disebut boleh mempengaruhi masyarakat yang ada dan paling penting juga ianya memberi satu impak kepada yang bukan Islam,


Sedangkan, kata beliau, ajaran Islam yang suci itu difahami dan diterima oleh seluruh masyarakat Islam, bukannya hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
“Begitu juga status ini, adalah penghinaan yang melampau dan boleh menyinggung dan hasutan secara bida’ah dan apa yang dibangkitkan,
“boleh mengugat keharmonian (dan keselamatan negara),” tegas beliau lagi.





























