PAS Ucap Tahniah DBKL Tidak Luluskan Pesta Arak

2134

KUALATERENGGANU – PAS mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan DBKL yang telah menolak permohonan penganjuran pesta arak “Better Beer Festival 2017”.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Malaysia, YB Dato’ Dr Ustaz Khairuddin Aman Razali berkata, DBKL telah membawa aspirasi rakyat Malaysia yang menolak penganjuran sebarang pesta tidak bermoral dan merosakkan rakyat.

“Saya berharap ia menjadi peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hub aktiviti tidak bermoral dan tidak berakhlak,

“Dalam masa yang sama, timbul persoalan bagaimana program tersebut telah diiklankan sejak Mei 2017 sedangkan kelulusan belum diperolehi,” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya, pada Isnin, 18 September 2017, disini.

Menurutnya, pada tahun 2012 dan 2016 pesta arak seumpama ini telah berjaya dilaksanakan sehingga menjadi pendorong untuk mengadakan pesta yang sama pada 2017.

“Sekiranya tiada sebarang bantahan daripada masyarakat tentu sahaja pesta ini akan berjaya dilaksanakan. Adakah ia satu provokasi untuk melihat respon dan tindak balas rakyat,” tanya beliau.

Oleh itu, PAS mengharapkan pihak berkuasa di seluruh Malaysia agar mengambil perhatian serius terhadap sebarang pesta yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral selaras dengan usaha memelihara salah satu Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Turut memuji tindakan DBKL itu ialah Dr Azman Ibrahim yang berkata, uatu keputusan yang sangat tepat dan mengambil kira kepentingan masyarakat.

Katanya, Malaysia perlu tampilkan imej kepada dunia bahawa negara ini memiliki masyarakat yang bertamadun.

“Jangan fikir kita akan kelihatan moden dan maju dengan menganjurkan pesta arak. Manusia yang tak menghargai akal adalah lambang kekolotan pemikiran.

“Fitrah manusia normal tentunya tak boleh menerima perlakuan manusia yang mabuk berjalan terhoyon-hayan, muntah merata-rata, memandu dengan membahayakan orang lain serta perlakuan seks bebas dalam keadaan mabuk.

“Pengharaman arak telah diistiharkan oleh pemilik bumi ini sejak lebih 1,400 tahun yang lalu. Maka jangan kita undang kemurkaan Tuhan Rabbul Jalil dengan menentang larangan Allah secara penuh keangkuhan,” jelasnya.

Beliau berdoa semoga Allah merahmati para pegawai DBKL yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan pengharaman tersebut kerana kata beliau, keputusan itu menghindarkankan mudharat kepada masyarakat ramai.