Cadangan Menaikkan 10 Peratus Tambang Bas Ekspress Perlu Diperhalusi Seadilnya

1633

Bas ekspress adalah pengangkutan awam. Bila disebut pengangkutan awam, ia bermakna pengangkutan untuk orang awam. Inilah medium pengangkutan untuk rakyat bawahan dan masyarakat kebanyakkan. Pak Menteri dan golongan kenamaan kalau naik pun sekadar nak tangkap gambar untuk iklan politik sahaja.

Rakyat bawahan telah sedia terbeban dengan pelbagai kenaikan kos kehidupan seharian ditambah lagi dengan pelbagai cukai sekeliling pinggang yang dipaksakan ke atas mereka. Sebahagian rakyat bawahan sudah mencapai peringkat buntu bagaimana untuk memikirkan kos kehidupan diri dan keluarga serta aneka ragam komitmen lain yang memerlukan duit. Janganlah ditambah lagi kebuntuan mereka.

Kerana itu saya melihat cadangan Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspress yang mencadangkan kenaikan tambang 10 peratus mulai 22 Jun 2017 perlu diperhalusi sebaiknya demi kebaikan semua pihak.

Pihak kerajaan perlu memberikan keutamaan dengan melihat kepentingan pengguna awam dalam membuat pertimbangan samada nak meluluskan cadangan ini atau tidak.

Saya percaya dengan kadar tambang sedia ada sekarang, pengusaha bas ekspress sudah boleh membuat keuntungan. Besar atau kecil keuntungan itu adalah perkara kedua. Tapi yang pasti dengan kadar tambang sekarang, syarikat bas ekspress tak rugi. Kalau tidak masakan syarikat-syarikat bas boleh berlumba-lumba tampil dengan pelbagai bas model terbaru. Kalau rugi, maka sebab-sebab lain perlu dilihat terutamanya dari aspek pengurusan operasi.

10 peratus cadangan kenaikan adalah terlalu tinggi. Tambahan pula ia dicadangkan untuk dikuatkuasakan sempena musim perayaan ketika masyarakat awam amat memerlukan perkhidmatan bas ekspress untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Amat tak sepatutnya pengusaha mengambil kesempatan ketika pengguna dalam keadaan memerlukan.

Masyarakat awam memerlukan bas ekspress dan syarikat-syarikat bas pula memerlukan penumpang. Tanpa penumpang maka tak akan wujud syarikat bas.

Dr Azman Ibrahim
AJK KERJA PAS Pusat
13 Jun 2017