Mana Janji Mahu Bina Memorial Hudud?

2181

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS – PAS Seberang Takir mempersoalkan janji ADUN kawasan itu yang mahu membina Memorial Hudud sebagai peringatan kepada sejarah perlaksanaan undang-undang Islam semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin dahulu.

Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Menteri Besar Terengganu, pernah mencanangkan satu ketika dulu, mahu membangunkan peringatan tersebut ketika menjawat jawatan exco.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang berkata, Razif pernah menyebut bahawa kerajaan merancang untuk membina Memorial di kawasan tebing tinggi, kampung Seberang Takir.

“Dia (Razif) nak buat ‘monumen’ hudud di kampung kelahirannya itu kerana disitu tempat pelaksanaan hukum hudud satu ketika dahulu,

“Yang mana Kampung Seberang Takir ada tercatat dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam di Terengganu iaitu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918),

“Diberi nama Seberang Takir bilamana Sultan memerintahkan pesalah kes kecurian dipotong (takir dalam loghat Terengganu) tangannya di seberang. Akhirnya timbullah nama Seberang Takir yang bermaksud seberang tempat takir (potong) tangan pencuri”, jelas Ustaz Zakaria.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat terawih di Surau Mawaddah, Telaga Daing disini.

Menurutnya, Razif yang ketika itu merupakan exco kerajaan negeri Terengganu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir mencanangkan akan membina satu memorial atau pun monumem tempat tanda melaksanakan hudud di Terengganu berhampiran dengan pejabat POS.

Namun katanya, sampai sekarang ‘monumen’ tersebut tidak kelihatan.

“Bagaimana dia (Razif) nok bina sesuatu ‘tanda’ berkenaan hudud, sedangkan parti yang didokongnya jelas menentang pelaksanaan hukum hudud di Malaysia ini?”, soal beliau.

“Semua itu (Memorial Hudud) hanyalah ‘halwa telinga’. Dah memang jenis dia (Razif) suka bercakap benda-benda yang ‘menampakkan’ dirinya hebat … hakikatnya hanyalah angan-angan Mat Jenin”, ujarnya.