Himpunan 355: Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera

1823

Oleh : Roslan Shahir Bin Datuk Mohd Shahir

Sekiranya anda seorang warganegara Malaysia apatah lagi seorang Muslim, tiada sebab tiada alasan anda tidak hadir dalam himpunan yang paling bersejarah buat umat Islam di Malaysia pada hari Sabtu 18 haribulan Febuari ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Himpunan ini menjadi paling bersejarah kerana tidak pernah berlaku sebelum ini suatu himpunan raksaksa diadakan untuk menyatakan sokongan terhadap pindaan satu undang undang yang disokong dan didokong oleh semua umat Islam tanpa mengira fahaman dan kecenderungan politik.

Pernah semasa zaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada tahun 1983 dahulu, kerajaan menganjurkan himpunan bagi menyokong pindaan Perlembagaan bagi mengekang kuasa Raja-raja Melayu yang dianjurkan merata negeri. Perkara 66 dan 150 Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan maksud mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu

Itu lebih kepada himpunan politik dan agenda peribadi seorang pemimpin.

Tetapi Himpunan 355 pada 18 hari bulan Febuari ini bukannya himpunan politik, bukan juga himpunan mengagungkan agenda peribadi mana-mana pemimpin, kelompok atau individu.

Ia bukan program PAS, bukan juga program Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Akan tetapi Himpunan 355 itu nanti adalah himpunan penyatuan atau solidarity seluruh majority umat Islam di Malaysia yang melalui kehadiran mereka menzahirkan persetujuan dan sokongan terhadap semangat pindaan pada Akta Mahkamah Syariah (Akta355) yang mahu memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Pindaan terhadap Akta berkenaan yang akan dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat bulan Mac nanti bermaksud memberi kuasa kepada mahkamah- mahkamah Syariah di Malaysia untuk mempertingkatkan hukuman atas beberapa kesalahan jenayah syariah agar setimpal dan selaras dengan yang diperuntukkan oleh al Quran dan As Sunnah.

Pindaan ini nanti mahu mendekatkan umat Islam di Malaysia untuk mengamalkan ajaran sebenar agama mereka, suatu yang dijamin haknya di dalam Perlembagaan Malaysia. Ianya tiada kaitan dan hubungan langsung dengan mana-mana warganegara Malaysia yang bukan Islam yang sepatutnya tidak bimbang dan gusar dengan himpunan ini.

Sejarah bakal tercipta apabila himpunan raksaksa itu nanti menyatakan secara aman dan tertib sokongan padu mereka mewakili umat Islam yang merupakan majority penduduk dalam negara, agar pindaan Akta355 itu nanti di luluskan dan menjadi undang-undang.

Tidak pernah kita lihat mana-mana pihak yang mampu berkumpul secara aman seperti yang bakal kitas saksikan untuk menyatakan sokongan terhadap mana-mana undang- undang di Malaysia sebelum ini kecuali Himpunan 355 pada 18 Febuari nanti.

Simbolik Himpunan 355 ini nanti sebagai suatu peringatan kepada seluruh ahli-ahli Dewan Rakyat,khasnya yang beragama Islam,agar bersama-sama memberi undi dan menyokong pindaan Akta 355 ini nanti apabila ia dibahas dan diundi di Dewan Rakyat kelak.

Ini kerana rakyat khasnya umat Islam yang merupakan pengundi-pengundi mereka menyokong penuh usaha yang mahu mendekatkan ummah kepada ajaran Islam sebenar.

Dan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang bukan Islam, rakyat beragama Islam sangat mengharapkan agar mereka memahami dan akur pada kehendak umat Islam itu. Sedarilah bahawa usaha ini sangat penting buat umat Islam.

Namun sekiranya atas apa sebab sekali pun mereka tidak dapat menyokongnya, sekurang-kurangnya janganlah menentang dan menimbulkan konflik sesame agama sedangkan inisiatif ini tiada kaitan dengan rakyat yang bukan Islam.

Sesungguhnya tiada hak dan kepentingan rakyat bukan Islam yang akan terhakis dan terjejas melalui pindaan ini kerana Mahkamah Syariah tiada kuasa mengadili rakyat yang bukan Islam.

Seluruh ahli Dewan Rakyat samada dari Umno, PAS, PKR, DAP dan lain-lain parti yang punya wakil orang Islam diharapkan dapat mengenepikan kepentingan masing-masing dan bersatu menyokong usaha murni ini demi Islam dan pemerkasaannya dalam negara.

Menentang usaha ini bermakna menentang usaha untuk memartabatkan Islam dalam negara, sudah pasti perbuatan itu nanti amat dikesali, khasnya dalam keadaan umat Islam boleh bersatu mendukungnya.

Oleh itu himpunan raksaksa ini adalah himpunan keamanan yang mahu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dari kalangan yang beragama Islam walau pun dari pelbagai aliran dan fahaman serta kecenderungan politik, namun dalam hal penting yang membabitkan nasib dan masa depan Islam, mereka sanggup dan mampu bersatu.

Himpunan ini bukannya mahu menakut-nakutkan atau mengancam mana-mana pihak khasnya rakyat yang bukan Islam.Tetapi himpunan ini sebenarnya mahu menunjukkan kepada mereka yakni saudara-saudara kita rakyat Malaysia yang bukan Islam bahawa, amalan dan kepercayaan agama sangat dekat dihati dan menebal dalam jiwa umat Islam.

Perlembagaan Negara menjamin Islam adalah agama Persekutuan dan Islam sebagaimana agama-agama lain berhak diamalkan oleh penganutnya. Pindaan terhadap Akta355 ini adalah sebahagian dari usaha proaktif untuk memperkasakan amalan agama dikalangan umat Islam.

Himpunan 355 mahu menyatakan bahawa umat Islam berhak mengamalkan agama dan kepercayaan mereka dan ianya melalui proses demokrasi dan menepati peruntukkan Perlembagaan dan peraturan yang ada. Ianya tidak dipaksa tetapi menuruti proses undang-undang sebenar.

Himpunan 355 ini juga menuruti proses undang-undang di mana hak berkumpul dan bersuara secara aman digunakan untuk menyampaikan mesej bahawa apabila syariah diperkasa, rakyat insyallah akan hidup sejahtera.

Ayuh rakyat Malaysia kita banjiri Kuala Lumpur pada18 Febuari 2017 ini bermula jam 3.00 petang hingga11.00 malam, jumpa anda di sana.

*** Roslan Shahir Bin Datuk Mohd Shahir ialah Pengarah Komunikasi Korporat PAS