Saya merujuk kepada kes pengambilan tanah di sekitar Kampung Seberang Baroh dan Tok Kaya.
Masyarakat kampung tersebut tidak berpuashati dengan tawaran pampasan yang ditetapkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian(JKPTG) kerana terlalu rendah. Bayangkan mereka dibayar sejumlah antara RM43 hingga RM58 kaki persegi sahaja kerana berstatus syarat ‘kampung’. Segala bangunan atas tanah tidak diambilkira oleh JKPTG kerana dikira melanggar syarat. Sedangkan tanah berstatus syarat ‘bangunan’ dibayar dengan harga RM250 sekaki persegi.


Akta Pengambilan Tanah 1960 digubal bertujuan untuk menyediakan panduan yang adil, mencukupi dan efisien dalam pengambilan balik tanah rakyat untuk projek pembangunan. Pelaksanaannya hendaklah menepati semangat Artikel 13(2) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi, “Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.”
Artikel 13(2) tersebut jelas memberi hak kepada rakyat untuk mendapat pampasan setimpal atas tanah yang diambilbalik. Apa-apa usaha untuk menafikan hak tersebut harus dibasmi. Lebih-lebih lagi dalam keadaan nasib rakyat yang sangat tertekan dengan kenaikan minyak kenderaan dan minyak masak yang menghasilkan kesan tekanan ekonomi berantai.


Justeru, Gerakan Anak Terengganu Insaf melihat perkara ini harus ditangani dengan sebaik mungkin oleh kerajaan yang ada, dan kami bersedia untuk bersama-sama penduduk kampung memperjuangkan hak mereka untuk dapat pampasan sewajarnya.
Memang benar bahawa kerajaan tidak dibebankan dengan kewajipan menyediakan tanah dan tempat tinggal gantian kepada rakyat yang terlibat dengan APT ini. Tapi alangkah baiknya jika kerajaan bersifat ihsan terhadap rakyat marhaen, dengan melangkaui undang-undang sedia ada yang serba lemah itu, bagi memenuhi makna keadilan. Janganlah oleh kerana undang-undang berpihak kepada mereka, maka kerajaan Umno BN bermudah-mudah dengan nasib rakyat yang tidak ketentuan .
Dalam hal ini, saya menyokong sepenuhnya cadangan Yang Berhormat Mohd Abdul Wahid Endut selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam yang mencadangkan agar tapak tanah gantian disediakan untuk penduduk yang diambil tanah mereka.


AMAR MA’ARUF NAHI MUNKAR
Wan Mohd Faizul Wan Abas
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf(GANTI)
23 Safar 1438



























