Oleh : MNA
KUALA TERENGGANU – Bersempena dengan satu majlis Hari Terbuka NGO Islam Terengganu anjuran Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), satu seminar berkaitan penerangan kepada Rang Undang-Undang (RUU) 355, telah diadakan.


Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan dalam seminar penerangan itu dengan menampilkan Dato’ Dr. Haji Mahamad Naser Disa sebagai pembentang pertama yang menyentuh isu bertajuk “RUU 355 Dan Perpaduan Ummah”.
Diikuti dengan pembentang kedua yang menyentuh aspek perundangan dan hak asasi manusia oleh Encik Azril Mohd Amin dan Ustaz Masridzi Sat sebagai pembentang ketiga dengan isu sosial.
Dalam kertas kerja beliau, Dr Naser menekankan tentang halangan yang besar adalah maklumat yang tidak disampaikan dengan berkesan kepada rakyat peringkat bawah, disamping penentangan dari golongan elit seperti Majlis Perundingan Malaysia dan G25.


Menyentuh berkenaan hak asasi manusia pula, Azril tidak menolak sememangnya hak asasi manusia mesti diberikan tetapi walau bagaimana sekalipun, ianya mesti tidak melebihi batas-batas agama agar hal ini terkawal.
Sementara itu, Ustaz Masridzi pula mendedahkan beberapa perkara yang mungkin tidak disedari oleh orang ramai berkenaan kerosakan yang teruk dari segi sosial yang berlaku terutamanya kepada orang melayu Islam.
Kes-kes seperti murtad, ketagihan dadah, pesta arak, judi, pelacuran dan sebagainya menurut beliau, kira-kira 90 peratus melibatkan orang melayu Islam.
Beliau turut menggesa kerajaan agar lebih menumpukan praktikal berbanding teori bagi menghapuskan kesemua masalah-masalah ini kerana bagi beliau, dalam banyak isu, NGO lebih kehadapan berbanding agensi kerajaan.


Seramai hampir 250 orang yang hadir ke majlis ini, mewakili kira-kira 50 NGO di sekitar negeri Terengganu yang berlangsung di sebuah resort dekat Kuala Ibai bermula jam 8.30 pagi sehingga 1.00 tengahari.
MAIM yang bernaung di bawah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), merupakan sayap yang diamanahkan bagi menjalinkan hubungan dengan NGO-NGO Islam di Malaysia bagi memperkuatkan lagi dakwah Islam di seluruh Malaysia.




























