Diatas Sifat Taqwa, Jauhi Dan Hentikan Amalan Fitnah

1407

Alhamdulillah segala syukur kita sembahkan kepada Allah, tuhan yang menciptakan sekelian alam dengan kurniaanNya yang paling mulia kepada kita iaitu bulan Ramadhan yang penuh berkat dan kerahmatan. Pelbagai hidangan bagi jiwa yang dahagakan kerahmatan, keberkatan dan keampunan dari Allah disediakan dengan seluas-luasnya. Hanya kita sahajalah yang telah merealisasikan ataupun menggagalkannya.

Saya juga mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Fitri kepada semua khususnya rakyat Terengganu dan kawasan Dun Bukit Payong. Moga Allah menerima segala ibadat dan amal soleh kita.

Madrasah Ramadhan ini adalah madrasah yang sangat terkesan bagi membentuk jiwa kita semua supaya menjadi jiwa yang bertawa kepada Allah. Sebagaimana Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa” al-Baqarah 183.

Taqwa bermaksud takutkan Allah, samada di hadapan orang ataupun ketika bersendirian kerana percaya bahawa Allah maha mengetahui apa yang ada dalam hati kita dan perbuatan zahir kita. Ada juga yang menafsirkan taqwa itu ialah melakukan segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah. Ubay bin Kaab pula apabila ditanya oleh Saidina Umar al-Khattab maksud taqwa menjawab, taqwa itu seumpama berjalan di atas jalan berduri yang mana seseorang itu menjadi sangat berhati-hati dan penuh kesungguhan untuk berpijak, bimbang terkena duri itu.

Nilai taqwa itu tidak dapat dinilai oleh manusia secara khususnya. Ia adalah nilai dalaman yang hanya Allah sahaja yang dapat menentukannya. Akan tetapi taqwa itu pasti akan terzahir apabila hati manusia itu benar-benar berpegang kepada falsafah taqwa itu. Dapatlah kita melihat seseorang itu akan berakhlak dengan akhlak yang mulia. Mereka mendahulukan kehendak Allah daripada kehendak manusia. Dan mereka tetap beristiqamah dalam memenuhi kehendak Allah walau dibenci manusia.

Puasa adalah salah satu cabang bagi mencapai ketaqwaan yang tulin. Banyak lagi cabang yang ditunjukkan bagi kita mencapai ketaqwaan ini. Lihatlah kepada peristiwa kepungan pasukan Ahzab dalam peristiwa Peperangan Khandak itu. Pasukan tentera-tentera Islam telah diuji dan digambarkan ujian itu sebagai goncangan-goncangan yang dahsyat, bagi membezakan antara keimanan dan kemunafikan. Hanya yang benar-benar bertaqwa sahaja yang bisa bertahan melepasi ujian itu dan para munafik pasti akan gugur.

Sahabat-sahabat yang melepasi ujian itu sebenarnya mempunyai tanda aras keimanan yang tinggi kerana mereka semua sanggup bermujahadah ataupun bersusah payah dalam mengejar ketaqwaan kerana kepercayaan dan taat setia mereka kepada rasulullah dan Allah tidak berbelah bahagi. Oleh itu wasilah yang mereka gunakan iaitu mujahadah, adalah satu pengorbanan yang amat dihargai dan mendapat keredhaan dari Allah. Firman Allah

“Dan orang-orang yang terdahulu- yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajiriin dan Anshar dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar: at-Taubah 100.

Inilah pengesahan daripada Allah ke atas golongan sahabat yang bertaqwa dan begitu komited dalam menelusuri perjalan dakwah yang sangat berliku, sehinggakan tidak sedikit yang terkorban sebelum sempat mereka mengecapi kemenangan di dunia ini.

Diatas sifat taqwa inilah, maka manusia seharusnya akan menjauhi dan menghentikan amalan fitnah. Budaya fitnah yang sangat keji itu jika dibiarkan, akan merosakkan masyarakat sebagaimana juga riba, rasuah, zina, arak dan berbagai-bagai lagi dosa dan noda. Akan tetapi sayang, kerana hilangnya taqwa dalam hati mereka, maka amaran Allah bahawa fitnah itu lebih teruk dari membunuh, tiada mereka endahkan. Tetap mereka menyebarkan fitnah tanpa rasa takut hanya kerana ingin memenuhi kepentingan nafsu mereka sahaja.

Oleh itu saya menyeru kepada diri saya dan semua agar kita semua menjauhi fitnah kerana ianya menyuburkan kebencian dan membuka ruang bagi rosaknya keharmonian dalam sebuah masyarakat. Biarkanlah fitnah itu tidur, jangan kita menggerakkannya kerana dosa dan azabnya amat pedih.
Marilah kita bersama-sama kembali kepada fitrah Islam, kembali kepada asas iaitu memelihara kesucian hati kita.

Jauhilah fitnah yang mengotorkan hati kita dan juga mengotorkan masyarakat secara umumnya dengan bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa agar kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang dijanjikan syurga.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahil Hamd

YB Ustaz Mohd Nor
Adun Bukit Payung
Ketua Penerangan PAS Terengganu
30 Ramadhan 1437 bersamaan 5 Julai 2016