PAS Besut Tekad Tanding Semua Kerusi PRU14

1686

Oleh KAM

BESUT – PAS menyangkal dakwaan kononnya berlaku pembahagian kerusi dengan Umno pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-14, akan datang ekoran polemik hubungan baik antara kedua-dua parti itu.

Justeru, Yang Dipertua (YDP) PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad menegaskan bahawa PAS Kawasan Besut akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu Parlimen.

Katanya, PAS bersedia untuk bertanding disemua empat kawasan Dun dan Parlimen Besut pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, gerak kerja parti disemua peringkat sedang dijalankan bagi memberi kemenangan kepada PAS Terengganu memerintah negeri.

“Kita (PAS) di Besut ini pada Pilihan Raya Umum ke-14, PAS akan bertanding disemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu Parlimen. Sama ada di kawasan Dun Kuala Besut, Dun Jertih, Dun Kota Putera dan Dun Hulu Besut itu PAS akan bertanding.

“Kita akan teruskan gerak kerja kita (PAS) dan pilihan raya kita akan datang iaitu PRU14 ini, Insya’Allah, kita sedang bekerja dan kita tekad untuk sama-sama menyumbang bagi kemenangan PAS di Terengganu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada satu majlis Ceramah Perdana di Kampung Tok Has, Jertih, pada Ahad 10 April.

Antara penceramah lainnya, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Norazli Musa, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran GK.

Ustaz Wan Azhar yang juga mantan calon PAS Dun Jertih menjelaskan pendekatan politik matang pimpinan PAS masa kini boleh menggugat musuh-musuh politik partinya.

Ini kerana, katanya tidak timbul isu yang menjadi polemik dalam masyarakat kononnya PAS akan membahagikan kerusinya bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tersebut.

“Tidak timbul apa yang menjadi polemik dalam masyarakat kita sehingga ada yang menyebutkan bahawa selepas daripada ini kita (PAS) akan bahagi kerusi dengan Umno-Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

“Kunjungan ziarah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi dan isterinya melawat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din di IJN dan banyak pertemuan-pertemuan yang melibat kepimpinan di antara dua buah parti antara Umno-PAS.

“Saya hendak sebutkan, Insya’Allah…apa pun yang berlaku itu pendekatan hubungan kita (PAS) dengan masyarakat, tetapi untuk di Besut kita ini bahawa pada PRU ke-14, PAS akan bertanding di empat kerusi Dun dan satu Parlimen,” jelasnya kepada orang ramai.

Ceramah Perdana itu anjuran Lajnah Penerangan PAS Kawasan Besut yang diadakan berhampiran dengan kediaman mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.