Barat Mencipta ‘Islamfobia’-Ustaz Abdul Hadi
Oleh : KAM
MARANG: – Masyarakat umum di negara ini khususnya di kalangan bukan Islam diminta agar menilai sesuatu keganasan yang berlaku kerana sering kali dikaitkan dengan Islam.
Justeru, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa media barat selalu memberikan gambaran yang negatif terhadap Islam.
Katanya, permainan media barat hari ini tentang ‘Islamfobia’ dengan menuduh orang Islam apabila berlaku sebarang keganasan dan letupan.
“Permainan media barat hari ini tentang ‘Islamfobia’. Media barat selalu menggambarkan gambaran yang sangat negatif terhadap Islam. Dengan berlakunya letupan ganas sama ada di negara orang Islam atau di negara bukan Islam.


“Kalau ajaran Islam mewajibkan kita (umat) sayang kepada binatang, pada pokok, pada alam sekitar. Apatah lagi kepada sesama manusia.
“(Contoh) Orang yang simpati kepada binatang dengan menolong anjing diberi pahala oleh Allah SWT di bawah ajaran Islam. Orang yang mengurung kucing dengan tidak diberi makan, mati ..(orang itu) masuk neraka mengikut ajaran Islam,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Sin Chew Daily, Mis I-Ling dalam satu pertemuan khas di Pejabat Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, di Rusila, Marang, baru-baru ini.
Menurutnya, masyarakat umum juga perlu menilai kenapa keganasan itu boleh berlaku di negeri-negeri majoriti orang Islam.
“Bagaimana keganasan itu boleh berlaku, orang Islam dituduh. Kita melihat undang-undang peperangan dalam Islam. Sebab, dalam Islam ada Undang-undang Antarabangsa.


“Ini mengikut ajaran Islam. Jika berlaku kemalangan (musnah) wajib kerajaan Islam kena ganti, bayar ganti rugi kepada mereka yang terlibat. Dengan ini secara automatik senjata pemusnah yang dicipta oleh barat dan timur, senjata nuklear dan senjata kimia diharamkan oleh Islam.
“Tetapi malangnya, barat sering kali menuduh orang Islam ini ganas. Siapa yang mencipta nuklear, siapa yang mencipta (senjata) hidrogen, siapa yang buat itu (semua) dan siapa yang meletupkan Hiroshima dan Nagasaki di Jepun.
“Orang Islam ke yang mencetuskan peperangan di Vietnam, mencetuskan perang di mana-mana. Sejarah Islam berlaku, apabila Islam mencapai kemenangan tidak ramai yang mati, tidak balas dendam, (Islam) mesti tunjukkan adil sekali pun terhadap musuh kita,” jelasnya.
Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyarankan agar masyarakat bukan Islam tidak menjadikan media barat itu sumber rujukan.
Katanya, banyak buku-buku dan kitab-kitab sejarah Islam yang boleh dibaca serta difahami sebelum menuduh orang Islam itu ganas.


“Kita melihat kedatangan Islam di mana-mana negara adalah berdamai. Walau pun perang tapi akhirnya berdamai dan tidak memperhambakan rakyat.
“Sebaliknya, kedatangan barat di negeri-negeri Asia dan Afrika menjajah, memperhambakan rakyat, merampas hasil negeri yang dijajahnya. Ini perkara yang sangat berbeza yang perlu kita (rakyat) lihat,” ujarnya.
Dalam pertemuan hampir satu jam itu, Presiden PAS mengupas pelbagai isu dan persoalan politik dalam dan luar negara termasuk isu-isu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, hubungan PAS-DAP dan PAS-Umno, kemelut hudud dan banyak lagi.




























