KEMAMAN – Enam sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terperosok ke bawah sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 258.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing, di sini tengah hari ini.
Ahli Jawatankuasa PAS Kemaman Ustaz Mohd Hazri Jusoh berkata tiga daripada mereka dihantar pulang ke kampung Cendering di Kuala Terengganu dan tiga lagi ke Kampung Alor Lintang Besut.


“tiga jenazah dihantar pulang ke kampung Chenderig dan tiga lagi ke kampung Alor Lintang di Besut,”ujarnya ketika dihubungi semalam.
Ustaz Hazri yang juga Pengarah Majlis Tindakan PAS DUN Kijal berkata demikian selepas mendoakan perjalanan jenazah terbabit dengan kereta mayat, yang bergerak menuju destinasi masing-masing dari hospital daerah Kemaman, dekat sini
Mereka yang maut dikenali sebagai pemandu kereta Azaman Ramli, 49, isterinya Noor Akmal Mohd Zain, 48, Noor Amira Syahirah Alias, 22, Aliff Hateem Azaman, 16, Aliff Hakim Azaman, 12 dan Aqeel Muslim Abdullah, 3 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim, kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan selepas tersepit di dalam kenderaan itu.


Ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan sebelum kenderaan jenis Toyota Camry itu dipercayai hilang kawalan, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan tersebut berpusing sebelum bahagian belakang kereta itu terperosok di bawah lori treler berkenaan yang berhenti di lorong kecemasan,” katanya.
Semasa kejadian, pemandu lori treler yang berusia 35 tahun itu dipercayai sedang tidur di dalam kenderaan itu dan tidak menyedari tentang kemalangan itu sehingga diberitahu oleh pengguna jalan raya yang lain.
Bagaimanapun, Mohd Said berkata pemandu lori yang berasal dari Kelantan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.


Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung nahas itu tampil ke balai polis Kemaman bagi membantu siasatan.





























