Ahmad Zahid Tidak Faham Politik

1308

KUALA TERENGGANU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diselar sebagai tidak faham politik apabila mendakwa pihak tertentu menggunakan ‘pintu belakang’ bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Pengarah Pilihan Raya, Datuk Mustafa Ali berkata, gerakan yang berlaku sekarang ini merupakan usaha menjatuhkan Perdana Menteri melalui undi tidak percaya dalam parlimen yang disifatkan ‘pintu depan’.

Walaupun tidak diketahui sejauh mana perkembangan gerakan tersebut, beliau memberitahu menyokong sebarang usaha ke arah undi tidak percaya bahawa tindakan menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan mustahil akan berlaku di negara ini.

“Guling cara kekerasan di Malaysia tidak mungkin berlaku. ‘Nature’ masyarakat Malaysia ini bukan macam itu sebab kita masih ada demokrasi walaupun demokrasi yang tempang, masih demokrasi,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu, di sini, semalam.

IMG-20150819-WA0001(2)Turut hadir, Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Ketua Pemuda Pas Terengganu, Hishammuddin Abd Karim dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas Terengganu, Jefri Chua.

Mustafa tidak menolak adanya gerakan menjatuhkan perdana menteri memberitahu bahawa sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, ia akan memberi keuntungan kepada rakyat dan negara berikutan terlalu banyak isu berlaku dalam negara di bawah pentadbiran sedia ada.

Sementara itu katanya, terdapat empat kaedah menurunkan sesebuah kerajaan yang tidak melibatkan guling kerajaan iaitu pilihan raya, undi tidak percaya sebagaimana pernah berlaku di Terengganu, Sabah dan Sarawak, akuan bersumpah (SD) dan sesi bajet yang tidak diluluskan dalam Parlimen.

“Bajet ini perkara yang penting dan misalnya tidak diluluskan dalam Parlimen, tetapi ini tidak pernah berlaku. Katalah dalam Parlimen, pembangkang campur ahli parlimen kerajaan telah menyebabkan bajet ditolak, maka perdana menteri itu secara moralnya kena letak jawatan.

“Kalau ada undi tidak percaya dan ada perancangan ini dibuat, ini biasa dalam Parlimen. Saya sebut secara peribadi, saya setuju PAS bersama dengan undi tidak percaya walaupun parti belum bincang dan secara peribadi saya setuju,” katanya.