Jangan Gadai Pendidikan Malaysia Kerana Tunduk Tekanan DAP

68
Ustaz Mohd Harun Esa

KUALA TERENGGANU – Keputusan Kerajaan Persekutuan membuka laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dilihat sebagai tindakan yang boleh menggadaikan masa depan pendidikan negara kerana didakwa tunduk kepada tekanan DAP

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, walaupun kerajaan menegaskan ia bukan pengiktirafan penuh terhadap UEC, keputusan itu tetap menimbulkan kebimbangan besar terhadap kedudukan sistem pendidikan kebangsaan.

Menurut beliau, isu berkenaan bukan melibatkan soal kaum atau bahasa, sebaliknya berkait prinsip mempertahankan dasar pendidikan negara yang berteraskan Bahasa Melayu, kurikulum kebangsaan serta matlamat perpaduan nasional.

“Jangan gadaikan masa depan pendidikan Malaysia kerana tunduk kepada tekanan politik DAP.

“Kerajaan tidak boleh sekadar menggunakan istilah ‘laluan khas’ atau ‘program tertentu’ untuk menutup kebimbangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, rakyat berhak mempersoalkan mengapa laluan rasmi ke IPTA diberikan kepada sistem pendidikan di luar kerangka pendidikan kebangsaan jika kerajaan benar-benar tidak mengiktiraf UEC.

“Jika bukan pengiktirafan, mengapa laluan rasmi dibuka?

“Jika ia hanya terhad, apakah jaminan ia tidak akan diperluaskan selepas ini?

“Dan jika keputusan ini dibuat oleh Jemaah Menteri, adakah UMNO, PKR dan Amanah juga bersetuju tunduk kepada tekanan politik DAP dalam isu UEC?” soalnya.

Mohd Harun berkata, PAS Terengganu turut mengambil perhatian terhadap pandangan Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Teo Kok Seong yang menyifatkan keputusan itu sebagai langkah politik yang salah dan membuka ruang lebih besar kepada sistem pendidikan yang tidak selari dengan dasar nasional.

Katanya, pandangan Pakar Pendidikan UKM, Anuar Ahmad juga perlu diberi perhatian kerana isu UEC menyentuh kedudukan Bahasa Melayu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta dasar pendidikan kebangsaan.

“Apabila pakar pendidikan sendiri memberi amaran, kerajaan tidak boleh menjawab isu ini dengan alasan politik semata-mata.

“Kerajaan mesti tampil dengan dasar yang jelas dan jaminan yang tegas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak cubaan mengaitkan lepasan tahfiz dengan isu UEC bagi mempertahankan keputusan kerajaan.

“Jangan gunakan tahfiz sebagai perisai naratif untuk menutup pintu belakang UEC,” tegasnya.

PAS Terengganu turut menuntut kerajaan menjelaskan sama ada laluan UEC ke IPTA akan kekal terhad kepada program tertentu sahaja, sama ada ia akan diperluaskan ke biasiswa kerajaan dan sektor awam serta sama ada keputusan tersebut dibuat akibat tekanan politik DAP dalam Kabinet.