PN Hadap PRU Dengan Kekuatan Struktur Dalaman, Pengalaman

31

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan kekuatan struktur dalaman dan pengalaman pentadbiran yang dimiliki gabungan itu, sama ada ketika berada dalam kerajaan mahupun sebagai pembangkang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu bagaimanapun, mengambil pendekatan terbuka dan realistik dengan meneroka kemungkinan bekerjasama dengan mana-mana parti dan pihak yang berkongsi prinsip serta wawasan politik yang sama.

Menurut beliau, pendekatan itu termasuk membuka ruang kepada pihak yang berminat menjadi rakan strategik PN tanpa perlu menjadi parti komponen rasmi gabungan tersebut.

“PN juga terbuka untuk meneroka bentuk-bentuk kerjasama pilihan raya dengan mana-mana parti dan pihak yang berkongsi prinsip dan wawasan yang sama selain berminat menjadi rakan strategik PN,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung pada 16 Mei lalu dan dipengerusikan oleh Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi PN.

Menurutnya, mesyuarat tersebut turut memutuskan supaya sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi memperhalusi bentuk kerjasama politik berkenaan termasuk terma dan syarat yang lengkap.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil daripada parti-parti dalam PN bagi memastikan sebarang kerjasama politik yang diwujudkan dapat dilaksanakan secara tersusun dan strategik.

Tambah beliau, pendekatan berkenaan selari dengan realiti landskap politik negara ketika ini selain mampu memperkukuhkan kestabilan politik dan memberikan harapan baharu kepada rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Pendekatan ini dipercayai lebih sesuai dengan realiti landskap politik negara selain mendukung kepentingan kerjasama politik yang konstruktif demi kestabilan negara dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin turut memaklumkan bahawa status penyertaan Malaysian Indian Congress atau MIC sebagai parti anggota PN dianggap terbatal selepas parti itu gagal memberikan pengesahan rasmi berhubung keputusan penyertaannya.

Menurut beliau, meskipun beberapa kali diminta memberikan kata putus, MIC sehingga kini masih belum mengesahkan penerimaan terhadap keputusan kemasukannya sebagai anggota PN yang diumumkan pada 9 Disember tahun lalu.

Katanya lagi, kenyataan rasmi MIC bahawa parti itu tidak pernah membuat permohonan rasmi untuk menyertai PN menyebabkan keputusan penerimaan tersebut tidak lagi relevan.

“Dengan ini ditetapkan bahawa keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota PN yang dibuat sebelum ini malangnya tidak lagi relevan dan terbatal,” katanya.