KUALA TERENGGANU – Jentera PAS diletakkan dalam ‘mode’ siap siaga, sentiasa bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 pada bila-bila masa, susulan perkembangan politik semasa yang disifatkan tidak menentu.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, Dr. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, persiapan itu merupakan pendekatan berterusan parti dalam mendepani sebarang kemungkinan perubahan, landskap politik negara termasuk sekiranya PRU diadakan lebih awal.
Menurut beliau, PAS bersama Perikatan Nasional (PN) tidak terkesan dengan spekulasi berkaitan pembubaran Parlimen atau langkah politik yang mungkin diambil Perdana Menteri.
“Apa yang penting, kita sentiasa bersedia tanpa mengira sama ada pilihan raya diadakan dalam masa terdekat atau mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubung perkembangan politik semasa ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan di Dewan Fikri, SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, semalam.


Sebelum ini, PN turut melakukan beberapa penstrukturan kepimpinan termasuk melantik Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang bagi memperkukuh strategi.
“Sebagaimana dimaklumkan, Perikatan Nasional bersetuju melantik YAB Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang dan kita mengalu-alukan pelantikan tersebut.
“Kita yakin beliau merupakan tokoh yang layak memegang jawatan itu bagi menghadapi sidang Parlimen akan datang.
“Malah, pelantikan ini memberi gambaran kepada rakyat Malaysia mengenai kepimpinan yang bakal menerajui negara selepas PRU ke-16 akan datang,” ujarnya.





























