KUALA TERENGGANU – Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini bersetuju melantik Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Kali Ke-2 Tahun 2026 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat dipengerusikan sendiri oleh Presiden PN, Ahmad Samsuri Mokhtar serta dihadiri semua Ahli Majlis Tertinggi daripada parti-parti anggota gabungan tersebut.
“Mesyuarat telah bersetuju untuk melantik YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Parlimen Kemaman, untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.
Dalam mesyuarat sama, PN turut bersetuju secara prinsip menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan serta kepentingan bersama dengan gabungan itu.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa negara yang menjadi perhatian rakyat dan berkepentingan kepada masa depan negara.
Menurut Takiyuddin, PN akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif serta berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Mesyuarat itu juga memutuskan beberapa pelantikan pengerusi PN negeri-negeri termasuk di Terengganu yang diketuai oleh Dato’ Dr Alias Razak.





























