KUALA TERENGGANU – Kompleks Pentadbiran PAS DUN Hulu Besut (KOMPAS) sedang dibina di Kampung Darau telah mencapai 40 peratus pembangunannya, namun masih memerlukan kira-kira RM600,000 untuk disiapkan sepenuhnya.
Pengerusi MMajlis Tindakan DUN (MTD) Hulu Besut, Cikgu Shalahuddin Jaafar berkata, pihaknya kini memberi fokus untuk menyiapkan terlebih dahulu bangunan utama melibatkan pejabat DUN, surau dan kelas PASTI demi kemudahan masyarakat setempat.
Menurut beliau, pembinaan bangunan dua tingkat itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pentadbiran, malah bakal menjadi pusat aktiviti masyarakat dan pendidikan.
“Kompleks ini akan menempatkan pejabat DUN, sebuah surau, empat bilik darjah PASTI, bilik gerakan, dewan tertutup dan bilik mesyuarat.
“Walaupun pembinaan sudah mencapai 40 peratus, kita masih memerlukan dana sekitar RM600,000 untuk menyiapkan kemudahan asas yang dirancang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian, hari ini, ketika mengumumkan penganjuran Jamuan Sambil Menderma Dana Pembangunan KOMPAS yang akan berlangsung pada 23 Mei di tapak kompleks berkenaan di Kampung Lepan Kejor, Hulu Besut.


Tambah beliau, projek itu turut mempunyai nilai sentimental apabila tanah pembinaan telah diwakafkan oleh keluarga Allahyarham Ustaz Hussin Jusoh yang pernah menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Besut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut.
Katanya, sumbangan orang ramai amat diperlukan bagi memastikan pembinaan dapat diteruskan dan dimanfaatkan masyarakat setempat pada masa hadapan.
“Setiap sumbangan bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, tetapi menjadi tanda sokongan dan semangat kepada usaha membangunkan pusat pentadbiran serta kebajikan masyarakat di Hulu Besut,” ujarnya.
Beliau menambah, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui DuitNow dengan mengimbas kod QR atau terus ke akaun Bank Islam bernombor 13035010047748 atas nama Majlis Tindakan DUN Hulu Besut.
Justeru itu, sebarang pertanyaan boleh hubungi*Sebarang pertanyaan, Cikgu Solah, 019-9029169, Farid, 019-9828140 dan Armadi, 018-2844078.




























