KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu berjaya melunaskan hampir RM800 juta hutang, menjadi bukti tadbir urus berhemah dalam tempoh lapan tahun pemerintahan.
Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jumlah hutang kerajaan negeri pada tahun 2017 sebelum peralihan kuasa ialah sebanyak RM907 juta.
Namun katanya, hasil pengurusan kewangan yang baik dan disiplin pentadbiran yang konsisten, hutang tersebut berjaya dikurangkan kepada hanya RM114.68 juta setakat 31 Mac 2026.
“Ini bermakna kerajaan negeri telah berjaya membayar hampir RM800 juta hutang dalam tempoh lapan tahun pemerintahan.
“walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk isu sekatan royalti,” katanya ketika dihubungi, mengulas program Bual Bicara para 14 Mei lalu


Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja mampu mentadbir dengan baik, malah berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri secara berperingkat.
Tambahnya, kejayaan mengurangkan beban hutang juga membolehkan lebih banyak dana disalurkan kepada pembangunan rakyat, kebajikan dan sektor pendidikan.
Beliau berkata pengurusan kewangan Terengganu turut mendapat pengiktirafan apabila kerajaan negeri sering menerima pujian serta laporan audit yang baik daripada Ketua Audit Negara.
Katanya lagi, pencapaian tersebut menjadi bukti bahawa pentadbiran negeri memberi penekanan kepada integriti, ketelusan dan pengurusan kewangan yang cekap demi memastikan kestabilan ekonomi Terengganu terus terpelihara.






























